suria

N45 Galas: Puteri UMNO Mula 'Serang' Gua Musang

GUA MUSANG: Jentera Pergerakan Puteri Umno mula digerakkan secara agresif dengan memberi tumpuan kepada usaha menemui pengundi muda khususnya yang bekerja di premis-permis perniagaan di sekitar bandar ini.

Naib Ketua Puteri Umno, Shahanim Mohd Yusoff berkata, pendekatan berkenaan lebih berkesan bagi menyampaikan mesej terhadap golongan itu berbanding aktiviti ceramah yang mungkin tidak menepati kumpulan sasar.

Menurutnya, kebanyakan pengundi muda berkenaan tidak mempunyai masa menghadiri program ceramah yang diadakan pada sepanjang kempen pilihan raya kecil itu memandangkan mereka sibuk dengan pekerjaan masing-masing

"Saya cukup gembira apabila pengundi-pengundi muda terbabit menyambut mesra kehadiran petugas Puteri Umno dan golongan tersebut terharu apabila ada pihak yang sudi mendampingi mereka,'' katanya semasa ditemui ketika berkempen dari premis ke premis di Bandar Lama di sini, Khamis.

Pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang akan diadakan pada 4 November ini menyaksikan saingan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) yang diwakili Ab Aziz Yusof dan Dr Zulkefli Mohamed daripada PAS.

Selain itu Shahanim berkata, kelompok pengundi muda itu juga diberi kesedaran mengenai tanggungjawab mereka keluar mengundi pada pilihan raya kecil itu agar mereka tidak memandang ringan terhadap tugas tersebut.

Jelasnya, pengundi-pengundi muda tersebut tidak boleh dipinggirkan memandangkan undi daripada mereka cukup penting bagi menjamin kemenangan BN.

Tambahnya, petugas pergerakan itu juga berkesempatan menemui pemilik premis terbabit termasuk di kalangan bukan Melayu untuk berkempen.

"Walaupun jumlah petugas Puteri agak terhad tetapi mereka begitu bersungguh-sungguh menjalankan kempen tanpa mengira waktu dan tempat bagi memastikan BN memenangi pilihan raya kecil ini.

"Kami turut berkempen dari rumah ke rumah terutamanya di kawasan kampung dan taman perumahan,'' katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain