suria

Polis Tumpah 'Geng Pick Up', Selesai Hampir 30 Kes Pecah Rumah

KUALA LUMPUR: Hampir 30 kes pecah rumah yang dilapor di Ampang, Selangor sejak awal tahun ini berjaya diselesaikan dengan penangkapan 'Geng Pick Up' dalam dua operasi di daerah itu pada Jumaat dan semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang ACP Abdul Jalil Hassan berkata kesemua mereka iaitu tiga lelaki dan dua wanita termasuk seorang wanita warga Thailand berusia antara 23 dan 43 tahun ditahan di Ampang Hilir dan di Taman Pandan Ria.

Mengulas kes itu kepada media di sini pada Isnin, Abdul Jalil berkata pembongkaran bermula dengan penangkapan seorang lelaki di sebuah pejabat di Ampang Hilir pada pukul 1 pagi Jumaat lepas.

"Polis menerima aduan daripada seorang pengadu yang mengatakan pejabatnya di Ampang Hilir dipecah masuk pada 22 Okt lepas kira-kira pukul 1 pagi setelah melihat ada kelibat seorang lelaki berada di pejabatnya.

"Lelaki itu berjaya ditangkap dan hasil soal siasat ke atasnya polis menyerbu sebuah rumah di Taman Pandan Ria, Ampang dan berjaya menahan empat orang iaitu dua lelaki dan dua wanita termasuk seorang dari Thailand," katanya.

Katanya hasil serbuan itu juga polis menemui pelbagai barangan berharga termasuk enam buah komputer riba, 13 telefon bimbit dan 28 utas jam tangan pelbagai jenis dengan nilai keseluruhan sekitar RM50,000. Turut ditemui peralatan yang diguna untuk kegiatan mereka, katanya.

"Suspek-suspek ini telah mengaku barang-barang yang dirampas adalah hasil kegiatan pecah rumah yang mereka lakukan sejak awal tahun ini dan modus operandi yang mereka lakukan dengan pecah rumah pada waktu siang ketika tiada orang di rumah.

"Siasatan awal mendapati ketiga-tiga lelaki itu mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau yang membabitkan jenayah pecah rumah, curi dan dadah," kata Abdul Jalil.

Beliau turut meminta orang ramai yang telah melaporkan kepada polis berkenaan rumah mereka dipecah masuk, agar tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang untuk membuat pengecaman barang-barang milik mereka. - BERNAMA

Artikel Lain