suria

PM India Mulakan Lawatan Tiga Hari Ke Malaysia Mulai Selasa Ini

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri India Dr Manmohan Singh akan melakukan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia mulai Selasa ini bagi membalas lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke negara itu Januari lepas.

Dr Manmohan yang akan diiringi oleh isteri beliau Gursharan Kaur, mengetuai anggota delegasi seramai 16 orang.

"Lawatan itu menandakan satu lagi usaha dalam perkembangan hubungan dua hala Malaysia-India bagi mengukuhkan keyakinan dan persefahaman bersama antara kedua-dua negara, menurut kenyataan Wisma Putra di sini Khamis.

"Malahan lawatan itu juga akan membolehkan kedua-dua Perdana Menteri mengadakan tindakan susulan mengenai perjanjian dan persefahaman yang dicapai semasa lawatan Najib ke India," tambah kenyataan itu.

Sejak 53 tahun lepas, kedua-dua negara menikmati hubungan sangat baik dan teras hubungan persahabatan ini adalah hubungan rakyat-ke-rakyat yang begitu lama serta hubungan sejarah dan ekonomi.

Semasa lawatan itu, Dr Manmohan akan diberikan sambutan rasmi di Dataran Perdana, Putrajaya, diikuti dengan mesyuarat delegasi di mana kedua-dua Perdana enteri dijangka membincangkan isu berkaitan hubungan dua hala, rantau dan antarabangsa.

Najib dan Dr Manmohan juga dijadual menyaksikan majlis menandatangani beberapa perjanjian kerajaan-ke-kerajaan dan memorandum persefahaman.

Dr Manmohan dan isteri akan juga menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah di Istana Negara.

Salah satu kemuncak atur cara lawatan itu adalah pelancaran bersama 'Little India di Brickfields' oleh kedua-dua Perdana Menteri.

Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor akan menjadi hos majlis jamuan makan malam untuk tetamu itu di Seri Perdana, Putrajaya.

Wisma Putra menyatakan bahawa Najib dan Dr Manmohan dijadual melancarkan mesyuarat pertama Forum Ketua-ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia-India, Perdana Menteri India itu juga dijangka menyampaikan satu syarahan pada Khazanah Global Lectures. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain