suria

Perhimpunan Agung Umno 2010 Dijangka Bincang Mengenai Pilihan Raya

KUALA LUMPUR: Pilihan raya umum dijangka dibincangkan dengan hangat pada Perhimpunan Agung Umno 2010, kata bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Isnin.

"Kita akan menghadapi pilihan raya umum, bila kita tidak tahu, tapi daripada apa yang saya dengar perhimpunan agung Umno kali ini pastinya akan membahaskan isu ini bagi memastikan kita (Barisan Nasional) terus berkuasa," katanya semasa berucap pada majlis makan malam sempena Forum Antarabangsa mengenai Pembentukan Masyarakat Global, Isnin.

Forum dua hari yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin hari ini dianjurkan sempena perhimpunan Agung Umno 2010 yang akan bermula esok. Abdullah berkata beliau percaya pemimpin Umno mempunyai tekad untuk melakukan perubahan di sebalik segala rintangan dan cabaran.

"Jika kita mahu melakukan pembaharuan, parti ini juga mesti melakukan perubahan. Ia merupakan satu tugas yang mencabar dan sukar bagi pemimpin-pemimpin parti, tetapi saya percaya mereka mempunyai tekad untuk melakukan perubahan sewajarnya.

"Kita kini menghadapi satu hakikat baru sebuah dunia yang semakin mengecil, dunia yang pastinya penuh dengan pelbagai masalah dan cabaran, kita tahu apa yang berlaku di seluruh dunia kerana kemudahan komunikasi, dan juga internet... inilah dunia baru," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain