suria

Pembinaan Warisan Merdeka Wujudkan Peluang Pekerjaan - Dr. M

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menyambut baik langkah kerajaan melaksanakan projek pembinaan mega yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2011 di Parlimen Jumaat lalu.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, pelaksanaan projek-projek mega berkenaan termasuk pembinaan mercu tanda terbaru di negara ini yang dinamakan Warisan Merdeka setinggi 100 tingkat akan mewujudkan peluang pekerjaan.

"Apa yang menarik bagi saya ialah wang dibelanjakan untuk membina projek-projek ini.

"Bila wang dibelanjakan, ini bermakna (kerajaan) telah mewujudkan peluang pekerjaan dan membuka ruang kepada orang ramai untuk jalankan perniagaan," katanya pada sidang media selesai menyampaikan ucaptama pada forum antarabangsa sempena Perhimpunan Agung UMNO 2010 di sini, Isnin.

Mengulas mengenai keperluan kerajaan membina menara yang menelan belanja RM5 bilion itu, Dr Mahathir berkata: "Bagi saya, apabila kerajaan fikirkan ia perlu, sudah pasti kerajaan ada sebab untuk membinanya.

"Tapi saya tak pasti sama ada perlu 100 tingkat ataupun tidak... tapi belanjakan wang itu bagus, saya selalu belanjakan wang (sewaktu menjadi Perdana Menteri)."

Jumaat lalu kerajaan mengumumkan pembinaan Menara Warisan Merdeka yang dibina bersebelahan Stadium Merdeka dan Stadium Negara akan dilaksanakan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dijangka siap pada 2015.

Menara setinggi 100 tingkat itu lebih tinggi daripada bangunan tertinggi di Malaysia yang diilhamkan Dr Mahathir sendiri iaitu Menara Berkembar Petronas setinggi 88 tingkat.

Turut diumumkan adalah projek transit aliran ringan (MRT) di Greater KL bernilai RM40 bilion yang akan mula dilaksanakan tahun depan dengan kos pelaburan swasta dan dijangka siap menjelang 2020.

Tambah Dr Mahathir, kerajaan mungkin terpaksa mengambil pendekatan yang tidak popular dengan melaksanakan projek-projek mega berkenaan yang pastinya mendapat bantahan daripada sesetengah pihak.

"Mungkin nampak tak popular, tapi kalau (kerajaan) tahu ia baik walaupun rakyat tidak nampak, ia perlu dilaksanakan.

"Sebagi contoh waktu kita nak bina sistem transit aliran ringan (LRT), waktu itu ramai orang cakap ia tak perlu, tapi sekarang (LRT) padat, ia memang diperlukan," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pentadbiran Najib selepas dua tahun mengambil alih kerajaan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi, Dr Mahathir berkata: "Beliau mewarisi kerajaan yang teruk, beliau berusaha lakukan yang terbaik, tindakannya lebih baik daripada nombor lima (Perdana Menteri kelima).

"Beliau sedang berusaha memulihkan semula keadaan, beliau sedang melalui tempoh masa yang sukar, banyak perkara beliau perlu lakukan, saya harap beliau berjaya."

Artikel Lain