suria

Pakej Pelancongan Ramadan Diperhebat

PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan akan terus memperhebat pakej pelancongan Ramadan bagi memastikan jumlah kedatangan pelancong dari negara Timur Tengah tidak menurun.

Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata sehubungan itu perancangan awal perlu bagi memastikan pakej yang disediakan mampu menarik kehadiran pelancongan dari negara berkenaan memandangkan bulan Ramadan tahun depan jatuh pada musim panas.

"Pakej pelancongan yang lebih menarik perlu dirancang bermula sekarang kerana kebiasaannya pada musim panas pelancong dari negara berkenaan lebih gemar berada di rumah," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Pengerusi Pelancongan Qatar Ahmad Abdullah Al-Nuami di sini, Isnin.

Ng berkata pakej pelancongan Ramadan mula diperkenalkan tahun lepas dan kementerian kini mengumpul maklum balas daripada pihak industri berkaitan untuk merangka penambahbaikan.

Beliau berkata kementerian juga antara lain akan mengadakan perbincangan dengan pihak hotel supaya hotel dapat menyediakan keperluan pelancong Timur Tengah pada bulan Ramadan.

"Ini termasuk menyediakan ruang supaya penduduk Timur Tengah boleh menjalankan majlis Dewaniah di mana mereka akan bersantai bersama kaum keluarga dan sahabat pada waktu malam," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain