suria

"Berubah Atau Kita Akan Ketinggalan," Kata Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata rakyat perlu keluar daripada belenggu pemikiran dan cara bekerja yang biasa bagi menjayakan program mentransformasikan Malaysia ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi.

"Perubahan bukan lagi satu opsyen. Ia satu imperatif. Berubah atau kita akan ketinggalan," kata Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini semasa membentangkan Bajet 2011 bertemakan "Transformasi Ke Arah Negara Maju Berpendapatan Tinggi".

Katanya demi mencapai status negara maju yang diaspirasikan, rakyat Malaysia tidak boleh lagi terpenjara dengan kelaziman.

Najib berkata kerajaan mahu membina sebuah Malaysia di mana setiap orang mampu mencipta kebahagiaan. "Kita mahu membina sebuah Malaysia di mana yang mengehadkan kejayaan hanyalah sejauh mana kesanggupan seseorang itu berusaha dan bekerja keras," katanya dalam ucapannya selama satu jam 40 minit itu.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan Barisan Nasional tidak akan mengambil jalan mudah dengan menggadaikan kepentingan negara jangka panjang demi untuk populariti jangka pendek.

Menurutnya kerajaan tidak mahu mewariskan negara yang bermasalah kepada generasi akan datang.

"Lantaran itu, rakyat perlu insaf bahawa masa depan mereka dan anak-anak adalah terlalu bernilai dan mahal harganya untuk diserahkan kepada pihak yang tidak bertanggungjawab," kata Perdana Menteri.

Beliau berkata walau apapun cabaran yang mendatang, kerajaan tidak akan sekali-kali berundur dari misi mulia itu, atas keyakinan bahawa "kebenaran berpihak kepada kita dengan rekod prestasi yang cemerlang".

"Kita bukannya saudagar mimpi yang memperdagang dongengan. Kita adalah parti pembina harapan yang berpijak di bumi nyata.

"Apa yang kita capai bukanlah secara tidak sengaja, ibarat bulan jatuh ke riba, tetapi ia hasil dari perencanaan yang jelas, ketegasan pelaksanaan, perancangan yang rapi serta pengorban yang tinggi," katanya.

Sambil menegaskan Bajet 2011 mengambil kira keperluan semua rakyat, Najib berkata pembentangannya dimungkinkan oleh pengurusan kewangan negara yang cekap dan berhemat selama ini.

"Wawasan saya dan rakan-rakan dalam Kabinet adalah untuk meneruskan tradisi murni membawa kemakmuran ke seluruh pelusuk dan ceruk negara.

"Wawasan ini bukanlah sesuatu yang mustahil. Ia bukanlah pula satu impian yang kosong. Fakta dan sejarah telah membuktikan bahawa kerajaan Barisan Nasional berupaya melakukannya selama puluhan tahun," katanya.

Najib memberi contoh bagaimana Malaysia ditransfomasi dari sebuah negara pertanian berpendapatan rendah menjadi negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi.

Selain itu, terdapat peningkatan pendapatan per kapita daripada US$260 kepada kira-kira US$8,000; pengurangan kemiskinan daripada 60 peratus kepada 3.8 peratus; dan kejayaan keluar daripada krisis kewangan 1997/1998 dengan bersandarkan langkah tegas di luar kelaziman.

Najib berkata hasil daripada pengurusan kewangan yang berhemat, Malaysia berupaya keluar daripada krisis kewangan 1997/1998 dengan jayanya bersandarkan langkah tegas di luar kelaziman ketika itu.

"Hasilnya, kritikan menjadi pujian, sifat berwasangka berubah menjadi kekaguman," katanya.

Perdana Menteri berkata sejak beliau mengambil alih pentadbiran 18 bulan lalu, kerajaan telah mempersiapsiagakan "ceracak-ceracak yang kukuh" sebagai asas lonjakan seterusnya kepada perjalanan Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi.

Katanya proses transformasi akan dilaksanakan secara holistik meliputi aspek ekonomi, sosial dan politik.

Menurutnya Bajet 2011 mengangkat Konsep 1Malaysia sebagai falsafah induk memandu hala tuju negara manakala Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) menjadi peta panduan.

Enam NKRA dan Model Baru Ekonomi dengan terasnya pula membentuk kerangka kerja kepada arah tuju itu.

Dalam merangka Bajet itu, Najib berkata kerajaan merundingi dan mengambil kira pandangan pelbagai pihak daripada sektor awam, sektor swasta, kumpulan sasar, sumbangan media massa, cadangan blog 1Malaysia serta sesi-sesi makmal.

"Inilah kekuatan 1Malaysia, inilah berkat gabungan percambahan idea dan gandingan usaha gigih yang telah dicurahkan.

"Bersama-sama kita pasti mampu keluar dari perangkap ekonomi berpendapatan sederhana serta melonjak ke tahap pembangunan yang jauh lebih tinggi," kata Perdana Menteri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain