suria

Malaysia Dan Indonesia Kembali Membahaskan Sempadan Maritim

JAKARTA: Perundingan peringkat teknikal mengenai sempadan maritim Malaysia-Indonesia ke-16 akan diadakan di Kuantan, Pahang, pada 13 dan 14 Okt, kata Kementerian Luar Negeri Indonesia.

Perundingan terakhir peringkat teknikal sebelum ini diadakan setahun yang lalu di Bali.

Perundingan di Kuantan itu dilakukan berdasarkan kesepakatan yang dihasilkan oleh Menteri Luar Indonesia Dr Marty Natalegawa dan Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman pada pertemuan di Kota Kinabalu pada 6 Sept lalu dan di New York pada 27 Sept.

Delegasi Indonesia ke perundingan tersebut akan terdiri daripada wakil pelbagai agensi teknikal berkaitan iaitu Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pertahanan, Kementerian Kelautan dan Perikanan, Kementerian Tenaga dan Sumber Daya Mineral, Badan Koordinasi Survey dan Pemetaan Nasional, Dinas Hidrografi dan Oceanografi, dan Markas Besar Tentera Nasional Indonesia (TNI) AL (Angkatan Laut).

Sejak tahun 2005, Indonesia dan Malaysia telah melakukan perundingan sempadan wilayah maritim, landas kontinen, dan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE), di lima segmen laut.

Kelima-lima segmen itu ialah Selat Melaka Utara, Selat Melaka Selatan, Laut China Selatan, Selat Singapura dan Laut Sulawesi. Kerajaan Indonesia dan Malaysia komited untuk meningkatkan kekerapan perundingan agar kemajuan yang signifikan dapat dihasilkan dalam penyelesaian masalah sempadan laut antara kedua-dua negara.

Diharapkan pada perundingan peringkat teknikal ke-16 di Kuantan, kedua-dua negara dapat mengenal pasti potensi titik temu sebagai bahan pertimbangan adanya kesepakatan kedua-dua negara bagi wilayah-wilayah yang dirundingkan.

Perundingan di Malaysia ini akan dilanjutkan pada perundingan peringkat teknikal kedua di Indonesia pada 23-24 Nov depan dan hasilnya akan dilaporkan pada pertemuan peringkat Menteri Luar Negeri di Indonesia pada awal Disember ini. - BERNAMA

Artikel Lain