suria

Rayuan Lelaki Menyamar Peguam Dibenarkan

SHAH ALAM: Seorang lelaki yang pernah mendakwa dirinya kerabat diraja Brunei dinasihatkan supaya tidak lagi mengulangi kesalahannya selepas hukuman penjara ke atasnya bagi kesalahan menyamar sebagai peguam diringankan.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Abdul Alim Abdullah memberikan nasihat itu kepada Mohammad Mat Atan, 51, pada Jumaat, selepas beliau menerima rayuan yang dikemukakan oleh lelaki tersebut.

“Ingat perbuatan kamu mengambil wang guaman itu adalah haram. Tak usahlah (teruskan). Hentikanlah perkara itu,” kata Abdul Alim.

Beliau juga memberi peringatan bahawa kesalahan itu sudah direkodkan di mahkamah.

Terdahulu, Abdul Alim membenarkan supaya hukuman penjara selama 60 hari yang diarahkan bermula dari tarikh jatuh hukum digantikan untuk bermula dari tarikh Mohammad ditangkap polis.

Mohammad pernah meringkuk di Penjara Sungai Buloh, dekat sini selama 50 hari bermula 26 Mac 2007.

Pada prosiding itu, Mohammad bertindak bagi dirinya sendiri manakala Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffrey Ong mewakili pihak pendakwaan selaku responden.

Dalam kes ini, Mohammad memfailkan rayuan selepas tidak berpuas hati dengan hukuman penjara dan denda RM2,500 yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret Klang, dekat sini pada 25 Februari lalu bagi kesalahan menyamar peguam.

Hukuman denda telah dibayar sejak peringkat awal.

Mohammad didakwa secara palsu berpura-pura bertindak sebagai peguambela dan peguamcara di Mahkamah Majistret Tiga, Klang, pada pukul 2.30 petang, 15 September 2004.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 37(1)(b) Akta Profesion Undang-Undang 1976 (Akta 166) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 37(1) akta sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,500 atau penjara tidak melebihi tempoh enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

Tembelang Mohammad yang menyamar sebagai penasihat peguam terbongkar selepas dia gagal mengemukakan Sijil Amalan Guaman pada prosiding di hadapan Majistret Tasnim Abu Bakar, sekitar 2004.

Semasa itu, dia yang sedang mewakili ‘seorang anak guam’ dalam prosiding jaminan memberi alasan bahawa sijil berkenaan berada di Brunei dan akan mengemukakannya di mahkamah pada keesokan hari.

Bagaimanapun, kelakuan itu menimbulkan rasa curiga dan semua maklumat peribadinya direkodkan untuk tujuan semakan dengan Majlis Peguam Selangor.

Semakan mendapati Mohammad tidak mempunyai sebarang rekod mahupun berdaftar sebagai seorang pengamal undang-undang yang sah.

Mohammad kemudiannya menghilangkan diri sebelum berjaya ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah pada 26 April 2007.

Selain itu, Mohammad juga pernah menggemparkan negara apabila memberikan wang hantaran berjumlah RM999,999.99 semasa bernikah dengan seorang wanita tempatan.

Puteri Netty Izma Sawiji membuat laporan polis mendakwa dirinya ditipu oleh seorang lelaki yang mendakwa dirinya kerabat dengan gelaran Pengiran Sufi Tengku Mohamad Zackrie.

Wang hantaran yang dihantar dalam bentuk cek semasa majlis pernikahan diadakan di rumah seorang kenamaan di Kangar, Perlis juga didapati palsu.

Artikel Berikut

Artikel Lain