suria

Tiga Sebabkan Kematian Penghutang Dihukum Penjara 10 Tahun

SHAH ALAM: Hutang sememangnya membebankan. Bagaimanapun untuk Mahendran Sudhandiranathan, hutang telah menyebabkan dia kehilangan nyawa apabila dipukul sehingga mati oleh tiga pemiutang yang marah dan mabuk.

Mangsa,seorang buruh kasar warganegara India dipukul dengan menggunakan tangan, kaki, batu dan kayu oleh tiga rakan senegara, C. Kanagaraj, 25, S. Ravinkumar, 25, dan S. Santhil Kumar, 31, dalam satu pertelingkahan ekoran kegagalan mangsa untuk melangsaikan hutang.

Tiga pemiutang itu kemudiannya telah membuang mayat mangsa, yang juga rakan serumah mereka ke kawasan semak berhampiran selepas menyedari mangsa tidak sedarkan diri.

Mayat mangsa dijumpai selepas dipandu arah olah semua pemiutang yang ditangkap pada petang hari kejadian. Turut dijumpai ialah dua ketul batu dan sebatang kayu yang mengandungi darah mangsa.

Pada Selasa, semua pemiutang itu dijatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun bermula daripada tarikh tangkap selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menyebabkan kematian mangsa.

Hukuman itu dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Abdul Alim Abdullah.

Semua tertuduh mengaku bersalah melakukan kesalahan itu antara pukul 11 malam, 8 Julai dan 2.30 pagi, 9 Julai 2007 di kawasan lapang taman permainan, Bandar Saujana Putra, Sungai Jarom, Banting, dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Alfred Egin mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Alfred memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana perbuatan yang dilakukan adalah kejam.

"Laporan bedah siasat menunjukkan mangsa mengalami 17 kesan kecederaan, pendarahan otak dan rahangnya juga patah," kata Alfred dan menambah mabuk bukanlah satu faktor rayuan.

Peguam M. Murugan dan V. Ravi Chandran yang mewakili pihak pembelaan pula merayu hukuman ringan dikenakan kerana semua tertuduh telah insaf dengan perbuatan mereka.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain