suria

Program Bakti Masyarakat Perlu Dikaji Semua

TEMERLOH: Pihak universiti diminta mengkaji semula Program Bakti Masyarakat yang disertai mahasiswa setiap kali cuti semester bagi memastikan ia berkesan dan memberi manfaat kepada kumpulan sasar.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata ini kerana program yang berjalan sejak 30 tahun lepas itu didapati kurang berkesan kerana tiada tindakan susulan.

"Program itu perlu disemak semula dan diberikan nilai tambah supaya ia memberikan impak yang baik kepada kumpulan sasar iaitu masyarakat dan keluarga angkat yang dipilih menyertainya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis penyampaian sumbangan hari raya daripada Majlis Kebajikan Pembangunan Masyarakat Parlimen Temerloh kepada fakir miskin, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan ibu tunggal di Dewan Undangan Lanchang dekat sini Ahad.

Beliau berkata program itu perlu diteruskan tetapi ia harus dinilai semula dari segi pengisiannya agar dapat ditingkatkan keberkesanannya dan tidak hanya untuk memenuhi syarat kokurikulum.

Saifuddin juga mencadangkan supaya pihak universiti memilih lokasi program yang lebih dekat dengan kampus bagi membolehkan mahasiwa mengunjungi semula tempat itu untuk membuat penilaian dan melihat kemajuan sejauh manakah program itu memberikan manfaat kepada kumpulan sasar.

Kebiasaannya setiap program disertai antara 40 hingga 80 penuntut yang tinggal di rumah keluarga angkat di kawasan luar bandar selama tiga hingga tujuh hari.

Antara pengisian program itu adalah gotong royong, kelas bimbingan, membersih kubur dan membersih serta membaiki rumah orang miskin atau warga emas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain