suria

Polis Tahan Peniaga Sorok Mercun, Bunga Api

KUCHING: Cubaan seorang peniaga untuk mengaut keuntungan dengan menjual mercun dan bunga api menjelang Hari Raya Aidilfitri berakhir apabila lelaki itu terpaksa meringkuk dalam lokap polis.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Mun Kock Keong berkata lelaki berusia 56 tahun dari daerah Lundu itu ditahan di tempat pakir di belakang sebuah pasar raya di Jalan Penrissen, Batu 4 1/2 di sini.

"Polis yang membuat memeriksa kereta jenis Proton Exora milik lelaki itu menemui tujuh kotak mercun dan bunga api," katanya, Sabtu.

Mun berkata polis turut menahan rakan lelaki itu yang cuba memberi rasuah sebanyak RM1,200 kepada seorang pegawai polis yang sedang membuat pemeriksaan di kereta suspek agar tidak mengambil tindakan terhadap suspek.

"Lelaki berusia 44 tahun itu ditahan polis mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009 kerana memberi rasuah kepada penjawat awam," katanya.

Sementara itu, Mun berkata juga polis menemui tujuh kotak rokok tanpa cukai dalam sebuah kereta jenis Naza Ria yang di pakir di kawasan berdekatan. "Anggota saya melihat seorang lelaki yang mencurigakan meninggalkan kereta dan melarikan diri. Apabila membuat pemeriksaan ke atas kereta itu, kami menemui rokok tanpa cukai," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain