suria

Penolong Amil Didakwa Subahat Dalam Nikah Sindiket

SHAH ALAM: Seorang daripada dua lelaki yang ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pernikahan sindiket yang dikenali sebagai ‘Sindiket Pak Sheikh’ didakwa di Mahkamah Rendah Syariah di sini Jumaat, atas tuduhan bersubahat menikahkan satu pasangan tanpa tauliah.

Abdul Rahman Adam, 46, yang merupakan penolong amil kariah di sebuah masjid didakwa melakukan perbuatan itu bersama seorang rakan subahat, Asbai’ Rofik, 56, iaitu buruh dari Indonesia pada hari ketiga umat Islam sedang berpuasa.

Tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut yang dibacakan di hadapan Hakim Syarie Saharuddin Selamat.

Dia didakwa bersubahat menikahkan Mohd Luqman Hakim Ab Rahman, 28, dan Mazlina Abdul Majid, 29, pada pukul 3.30 petang, 13 Ogos lalu di Lot 11A, Desa Subang Perantau, Sungai Buloh, dekat sini.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 134 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 yang dibaca bersama Seksyen 39 enakmen sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara enam sehingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Selagor (Jais), Muhammad Nazri Basrawi menawarkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh, yang hadir bersama beberapa rakan.

Bagaimanapun, peguam syarie Boestaman Ahmad yang mewakili tertuduh merayu supaya jumlah itu dikurangkan atas alasan tertuduh sebagai seorang penolong amil tidak menerima gaji dan perlu membuat persiapan untuk menyambut hari raya yang bakal menjelang.

“Isteri tertuduh hanya bekerja sebagai seorang guru agama di sekolah rakyat dan mereka mempunyai empat orang anak yang belajar di Maahad Tahfiz,” tambah Boestaman.

Selain itu, Boestaman juga memaklumkan hasrat pihaknya untuk membuat representasi kepada bahagian pendakwaan supaya pertuduhan tersebut dapat dikaji semula atas alasan wujud unsur penyamaran yang memerangkap tertuduh.

“Pasangan yang dinikahkan seperti dalam pertuduhan telah menyamar. Pasangan itu mendakwa tidak mendapat restu keluarga dan telah lama berkawan. Mereka juga mendakwa bapa kepada pasangan perempuan telah meninggal dunia,” katanya.

Boestaman menambah, Islam tidak membolehkan konsep penyamaran seperti itu.

Saharuddin menetapkan 3 November depan untuk sebutan semula kes bagi mengetahui status representasi dan membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM500 dengan seorang penjamin.

Sementara itu, kegagalan Asbai’ yang bertaraf penduduk tetap negara ini membawa padah selepas Saharuddin mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

Penjamin kepada Asbai’, Ariffin Idris, 59, yang dipanggil untuk memberi penjelasan mengenai ketidakhadiran Asbai’ memberitahu, dia telah cuba memaklumkan kepada lelaki itu supaya hadir ke mahkamah untuk dibacakan pertuduhan.

“Saya juga pergi ke rumahnya pagi tadi, tetapi pintu rumah terkunci dan tiada orang di rumah. Saya tidak tahu ke mana dia pergi,” tambahnya dan memohon supaya dibenarkan untuk menarik diri daripada terus menjadi penjamin.

Muhammad Nazri bagaimanapun membantah permohonan itu dengan alasan, penjamin hanya boleh berbuat begitu selepas tertuduh hadir di mahkamah dan boleh mencari individu lain untuk menggalas tanggungjawab sebagai penjamin.

Saharuddin kemudiannya menolak permohonan Ariffin dan menetapkan dia hanya boleh menarik diri selepas tertuduh hadir di mahkamah.

“Kamu juga perlu hadir ke mahkamah setiap kali kes disebut bagi memaklumkan situasi tertuduh kepada mahkamah. Saya juga mahu kamu memberi kerjasama untuk menjamin kehadiran tertuduh kelak,” tambahnya.

Kegiatan sindiket itu terbongkar selepas sebuah akhbar tabloid tempatan pada 16 Ogos lalu melaporkan mengenai nikah sindiket yang menawarkan empat pakej pernikahan berharga antara RM700 hingga Rm4,000.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain