suria

Kerajaan Pusat Runding Dengan Kedah Kekalkan KEDA

KULIM: Kerajaan Pusat menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sedang berunding dengan kerajaan Kedah untuk mengekalkan pentadbiran Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) selepas 2011.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek berkata, Keda masih diperlukan dalam usaha mengatasi masalah kemiskinan tegar di luar bandar di samping melahirkan lebih ramai usahawan muda di Kedah.

Kewujudan Keda sejak tiga dekad lalu jelas berjaya membantu penduduk luar bandar khususnya dalam meningkatkan taraf hidup dan ekonomi mereka, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Keda Haji Mohamad Said di Kampung Air Puteh, Serdang dekat sini hari ini.

Dewan pelbagai guna berharga RM270,000 siap Mac lalu.

Baru-baru ini Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, kerajaan Kedah akan mengkaji semula perjanjian dengan Keda, yang dijangka berakhir pertengahan tahun depan, berikutan kegagalan badan itu memenuhi terma perjanjian yang telah dipersetujui.

Azizan berkata, mengikut perjanjian tersebut, Keda perlu melantik tiga wakil daripada kerajaan negeri, namun selepas dua tahun Pas mentadbir Kedah, terma itu belum dipenuhi.

Hasan juga berkata, kementerian telah mengeluarkan pelbagai peruntukan dan bantuan melalui Keda untuk kesejahteraan rakyat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain