suria

Mahkamah Tolak Permohonan Anwar Gugur Dakwaan Liwat

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini Isnin menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggugurkan dakwaan liwat terhadapnya.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memutuskan bahawa integriti pihak pendakwaan tidak terjejas berikutan dakwaan wujudnya hubungan antara saksi utama Mohd Saiful Bukhari Azlan dan Timbalan Pendakwa Raya Farah Azlina Latif.

Mohamad Zabidin berkata peranan Farah Azlina dalam kes itu hanya terhad kepada mengambil nota.

"Farah tidak ada akses pada kertas penyiasatan, maknanya Saiful pun tidak ada akses," katanya.

Berikutan itu isu Anwar tidak mendapat perbicaraan yang adil disebabkan hubungan itu tidak timbul, katanya.

Ini merupakan kali kedua Anwar berusaha untuk membatalkan tuduhan itu dengan mendakwa integriti dan kesaksamaan keseluruhan pasukan pendakwaan dicurigai berikutan dakwaan wujudnya hubungan antara Mohd Saiful dan Farah Azlina.

Dalam cubaan pertama, Ketua Pembangkang itu menyatakan dakwaan itu lemah berdasarkan "tidak ada hasil klinikal menunjukkan berlaku penetrasi atau tembusan ke dubur/rektum", tetapi ia ditolak Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan.

Anwar, 63, yang merupakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dibicarakan atas tuduhan meliwat Mohd Saiful, bekas pembantu peribadinya yang berusia 25 tahun, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No.99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Anwar diwakili pasukan pembelaan yang diketuai Karpal Singh manakala Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden mengetuai pasukan pendakwaan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain