suria

Warga Myanmar Ditemui Mati Di Shah Alam

SHAH ALAM: Seorang lelaki warga Myanmar ditemui mati di sebuah rumah teres tiga tingkat di Jalan Cerdas 1, Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini tengah hari pada Jumaat.

Lelaki itu yang masih tidak dikenal pasti identitinya dipercayai mati disebabkan kecederaan parah di belakang kepala kesan pukulan benda tumpul.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Noor Azam Jamaluddin berkata tiada kesan pergelutan pada tempat kejadian namun polis menemui sebatang besi yang dipercayai senjata yang digunakan dalam pembunuhan itu.

"Polis menerima satu panggilan pada pukul 12.15 tengah hari tadi daripada seorang pemanggil yang mengadu terhidu sesuatu daripada rumah jirannya.

"Selepas diperiksa, kami menemui mayat seorang lelaki dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah di ruang tamu rumah itu," katanya.

Beliau berkata luka di belakang kepala mangsa masih baru dan dipercayai lelaki yang berusia lewat 20-an itu telah dibunuh 24 jam sebelum mayatnya ditemui.

Polis menemui satu kad pengenalan dalam tulisan Myanmar beserta satu salinan fotokopi pasport.

"Kami juga tidak pasti sama ada salinan fotokopi pasport itu dimiliki oleh si mati kerana terdapat 10 hingga 12 orang yang menghuni rumah itu," katanya.

Noor Azam berkata kesemua teman serumah lelaki itu telah melarikan diri.

Mangsa difahamkan bekerja di sebuah bengkel berdekatan sebelum berhenti baru-baru ini.

Artikel Lain