Polis Tolak Unsur Jenayah Dalam Kematian Model Sabtu Lepas - Semasa | mStar

Polis Tolak Unsur Jenayah Dalam Kematian Model Sabtu Lepas

KUALA LUMPUR: Polis menolak kemungkinan terdapat unsur jenayah dalam kes kematian seorang model dan pelakon tempatan Julia Chuah yang terjatuh dari tingkat 12 Kondominium Pantai Hill Park di sini, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata polis juga menolak kemungkinan wanita berusia 31 tahun itu ditolak dari kondominium itu. Namun, pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengetahui punca sebenar kematian wanita itu.

Ekoran kejadian itu, seorang lelaki berumur 36 tahun itu yang merupakan teman serumah mangsa ditahan selepas dilihat mundar-mandir di persekitaran kondominium terbabit sejurus penemuan mayat model tersebut.

Suspek kini direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Walaupun kemungkinan tiada unsur jenayah, namum kita masih menahan teman serumah mangsa bagi membantu siasatan.

"Bagaimanapun, lelaki itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau," katanya.

Katanya polis juga akan memanggil individu atau saksi-saksi lain yang mungkin dapat membantu menyelesaikan kes itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain