suria

'Greater KL' Untuk Tarikan Pelabur, Golongan Profesional

KEPALA BATAS: 'Greater KL' yang telah dikenal pasti di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) akan menjadi daya penarik kepada pelabur dan golongan profesional memilih Kuala Lumpur sebagai destinasi untuk melabur dan bekerja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata walaupun 'Greater KL' tidak seperti sektor perindustrian, ia perlu diberi tumpuan kerana persepsi pelabur dan golongan profesional menunjukkan perubahan.

"Walaupun perbandingan antara negara dengan negara masih lagi ada tetapi keputusan untuk membuat pelaburan atau bekerja sekarang ini juga melibatkan perbandingan antara bandar dengan bandar.

"Kebanyakan pelabur dan golongan profesional kini akan memilih bandar yang dapat memberikan persekitaran selesa untuk mereka tinggal, bekerja dan berhibur," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada 240 penerima sempena menyambut Ramadan di Taman Pokok Sena Indah, Tasek Gelugor di sini, Isnin.

Nor Mohamed berkata walaupun Kuala Lumpur telah berkembang pesat sebagai sebuah bandar raya tetapi masih belum mencapai potensi sepenuhnya dan masih memerlukan sedikit tumpuan untuk menarik ramai pelabur dan golongan profesional.

Nor Mohamed berkata beberapa perancangan diatur untuk menjayakan 'Greater KL' dan sekaligus menjadikannya sebagai bandar tumpuan pelabur dan golongan profesional.

Antaranya ialah cadangan untuk mewujudkan kawasan komersil dan perumahan di Kepong-Sungai Buloh, penambahan laluan sistem transit aliran ringan dan memperbaiki rangkaian pengangkutan awam.

"Mewujudkan sistem pengangkutan yang cekap adalah menjadi keutamaan, ini penting sebagai sebuah negara maju. Satu perkara yang menghalang produktiviti ialah kesesakan lalu lintas kerana ramai akan membuang masa, jadi jika dapat selesaikan masalah ini, maka boleh tingkatkan produktiviti.

"Selain itu sekarang ini juga telah mula buat lorong laluan di bandar, dari satu bangunan ke bangunan lain, untuk keselesaan pengguna, tidak perlu berpeluh-peluh berjalan kaki di tengah panas," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain