suria

Penarik Kereta Sambilan Dipenjara 14 Hari Kerana Terima Rasuah

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen hari ini menjatuhkan hukuman penjara 14 hari dan denda RM10,000 ke atas seorang penarik kereta sambilan kerana menerima rasuah sebanyak RM1,000 pada 2007.

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh memerintahkan V.Krishnakumar, 25, menjalani hukuman penjara itu mulai hari ini.

Beliau juga berkata jika tertuduh gagal membayar denda, dia terpaksa menjalani hukuman penjara selama lima bulan.

Krishnakumar didakwa menerima suapan wang tunai itu daripada M.Davadass di Restoran Berkeley Corner, Taman Berkeley, Klang di sini pada 3 Nov 2007, sebagai dorongan untuk tidak menarik kereta milik V. Sarojini Devi.

Dia dihukum mengikut Seksyen 16 Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang membawa hukuman penjara minimum 14 hari dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, ketika meminta hukuman diringankan, peguam A.Komathi berkata ini merupakan kesalahan pertama Krishnakumar dan pengakuan salahnya telah menjimatkan masa serta kos mahkamah.

Beliau berkata Krishnakumar bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji RM1,000 sebulan dan tertuduh telah insaf dengan perbuatannya.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Zainal Ayob memohon mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal terhadap tertuduh memandangkan rasuah adalah satu jenayah serius.

Selain itu, beliau berkata mahkamah perlu mengambil kira kepentingan awam dan negara dalam menjatuhkan hukuman terhadap Krishnakumar. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain