suria

Kerajaan Akan Semak Semula Undang-Undang Buruh - Muhiyddin

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang dalam proses untuk menyemak semula undang-undang buruh di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata kerajaan menyedari sepenuhnya berhubung kebimbangan majikan bahawa undang-undang buruh di Malaysia adalah rumit dan terbatas.

"Kami perlu mengemaskini dan menyemak semula undang-undang buruh untuk menarik serta mengekalkan pelaburan tempatan dan asing," katanya pada majlis jamuan tahunan Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) di Bandar Sunway di sini malam tadi.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan, Presiden MEF Datuk Azman Shah Haron dan Presiden Dewan Perdagangan dan Perindusrian Amerika-Malaysia Datuk Nicholas Zeffreys.

Beliau berkata kenyataan sebenar pada hari ini ialah kira-kira 75 peratus daripada tenaga kerja di Malaysia berkemahiran rendah.

"Di negara-negara maju, pekerja berkemahiran mewakili kira-kira 65 hingga 80 peratus daripada jumlah tenaga kerja keseluruhan. Sebagai tambahan, lebih 100,000 pelajar memasuki tenaga kerja selepas sekolah menengah saban tahun tanpa sebarang kemahiran pun," katanya. Muhyiddin berkata kerajaan menyedari bahawa dalam usaha untuk mara ke hadapan, terdapat keperluan untuk mengesahkan kemahiran tenaga kerja dan mengurangkan jurang kemahiran.

"Di peringkat pra-pekerjaan, pelbagai usaha sedang dijalankan untuk menyemak semula kurikulum di peringkat menengah dan pengajian tinggi bagi memastikan lepasan sekolah serta siswazah mempunyai kemahiran yang diperlukan oleh pasaran," katanya.

Beliau berkata memiliki kumpulan pekerja mahir juga akan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

"Kita perlu menggalakkan tenaga kerja terpendam kita supaya menyertai pasaran buruh dan ini termasuk wanita, pesara, pelajar dan orang kelainan upaya. Ini boleh dilakukan menerusi kerja separuh masa, melakukan kerja dari rumah dan waktu kerja yang fleksibel," katanya.

Muhyiddin berkata Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pekerja Asing Tanpa Izin yang dipengerusikannya memberi tumpuan dalam menjadikan majikan lebih bertanggungjawab terhadap pekerja mereka, mengurangkan kos kerajaan untuk mengendalikan kumpulan itu dan mengurangkan jenayah membabitkan warga asing.

"Kami berpendapat bahawa majikan adalah pihak yang perlu bertanggungjawab terhadap pekerja asing mereka," kata Muhyiddin.

Beliau berkata warga Malaysia perlu memperoleh semula kelebihan daya saing dan menjadi lebih mesra perniagaan sekiranya mahu mengekalkan pelabur.

"Kita mesti menanda aras diri sendiri berbanding negara lain dan menyediakan garis panduan untuk mengukur pembangunan serta pencapaian," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain