suria

PANAS: Pengerusi Selcat Enggan Mengadap Jwtkuasa Disiplin DAP; Rela Dipecat...

KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Teng Chang Khim berkata, beliau tidak akan datang mengadap Jawatankuasa Disiplin Parti berhubung kes pemecatan ahli Majlis Perbandaran Klang, Tee Boon Hock sekiranya beliau dipanggil atas kapasitinya sebagai pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat).

Sebaliknya kata Teng, beliau hanya akan hadir jika dipanggil mengadap sebagai ahli DAP.

Malah Teng memberitahu para pemberita sebentar tadi bahawa beliau rela dipecat sebagai ahli parti kerana isu tweet yang telah dicetuskannya semalam berkaitan pemecatan Tee.

Teng telah dipanggil untuk mengadap Jawatankuasa Disiplin pada 12 Ogos ini ekoran tindakannya menghantar satu komen ringkas melalui twitter ekoran pemecatan Tee sebagai ahli parti atas dakwaan menyalahgunakan kepala surat ahli Exco Kerajaan Negeri, Ronnie Liu untuk memperolehi faedah peribadi melalui sokongan ke atas kontrak-kontrak agensi dan jabatan di bawah pentadbiran kerajaan negeri.

Dalam tweetnya itu, Teng telah dipetik sebagai berkata; “Oh Tuhanku! Pesalah sebenarnya terlepas.”

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Tan Kok Wai pada Ahad berkata, kenyataan ringkas Teng itu sama seperti mempertikaikan kredibiliti jawatankuasa berkenaan dengan bermaksud, mereka telah menjatuhkan hukuman secara tidak adil dan secara tidak profesional dengan menghukum orang yang tidak bersalah.

Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa Disiplin DAP telah memanggil Teng untuk mengadap pada 12 Ogos untuk menjelaskan ayat yang dihantar melalui twitter itu dan juga menamakan orang yang beliau maksudkan sebagai terlepas daripada hukuman.

Sementara itu, Teng menegaskan, sebagai ahli Dewan Undangan Negeri selama enam penggal, Tan sepatutnya dapat membezakan antara urusan parti dengan urusan negeri.

Menurut Teng, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk menegakkan kehormatan Dewan Undangan Negeri Selangor dan juga Selcat.

Katanya lagi, tindakan Tan merujuk kepadanya sebagai Speaker dan juga pengerusi Selcat adalah satu tindakan yang tidak profesional dan sekali lagi menegaskan, pengerusi Selcat tidak boleh dipanggil mengadap Jawatankuasa Disiplin parti.

Beliau turut menjelaskan, Selcat tidak ada kena mengena dengan hal ehwal dan urusan parti dan dengan itu pengerusi Selcat tidak bertanggungjawab untuk menegakkan imej parti.

Artikel Lain