Malaysia Dan Singapura Bincang Langkah Penempatan Semula KTMB - Semasa | mStar

Malaysia Dan Singapura Bincang Langkah Penempatan Semula KTMB

KUALA LUMPUR: Pegawai-pegawai kanan Malaysia dan Singapura bertemu di sini pada hari Selasa dan Rabu bagi membincangkan dengan lebih lanjut Perkara-perkara Yang Dipersetujui (PoA) berhubung tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di republik itu.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan Wisma Putra hari ini, Menteri Luar Datuk Sri Anifah Aman dan rakan sejawatannya George Yeo berkata pertemuan itu adalah yang pertama selepas persetujuan mengenai perkara itu dicapai kedua-dua pemimpin negara Mei lepas.

Semasa Permukiman Pemimpin di Singapura pada 24 Mei lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong bersetuju mengambil langkah bagi menggerakkan isu-isu dalam PoA berhubung tanah milik KTMB itu.

Delegasi Malaysia diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Luar Tan Sri Rastam Mohd Isa manakala Singapura oleh Setiausaha Tetap Kementerian Luarnya Peter Ho.

Susulan pertemuan itu, dua jawatankuasa kecil ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Kecil mengenai Penempatan Semula Stesen Kereta Api KTMB dan Jawatankuasa Kecil Penubuhan M-S Pte Ltd.

Kedua-dua pihak mengulangi komitmen masing-masing bagi melaksanakan sepenuhnya persetujuan yang dicapai dalam Kenyataan Bersama pada 24 Mei, iaitu penempatan semula stesen kereta api KTMB dari Tanjong Pagar ke Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP), penempatan kemudahan bersama kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) kereta api di WTCP, dan penubuhan M-S Pte Ltd.

Menurut kenyataan itu kedua-dua pihak gembira dengan kemajuan yang dicapai Pasukan Pelaksanaan Bersama dan bersetuju bahawa pertemuan seterusnya akan diadakan hujung Ogos ini di Singapura.

Kedua-dua negara juga berbincang mengenai pelaksanaan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung Pulau Batu Putih, Batuan Tengah dan Tubir Selatan. Ini merupakan pertemuan keempat membabitkan Jawatankuasa Teknikal Bersama yang menyaksikan kedua-dua pihak mengulangi komitmen masing-masing untuk menghormati serta mematuhi keputusan ICJ selain melaksanakan keputusannya.

Jawatankuasa bersama itu menyemak kerja Jawatankuasa Kecil megenai Kerja-Kerja Ukur Bersama dan Jawatankuasa Kecil mengenai Maritim dan Pengurusan Angkasa Lepas serta Perikanan.

Ia turut memuji Jawatankuasa Kecil mengenai Kerja Ukur Bersama yang selesai merangka memorandum persefahaman mengenai ukur hidrografi bersama di dalam dan di sekitar Pulau Batu Putih, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, yang perlu melalui proses kelulusan dalaman kedua-dua negara.

Pada Mei 2008, ICJ di The Hague, Belanda menganugerahkan kedaulatan Pulau Batu Putih kepada Singapura, manakala Batuan Tengah dan Tubir Selatan diberikan kepada Malaysia. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Jom bantu bayar balik pinjaman PTPTN pekerja! Pelepasan cukai antara 7 kelebihan untuk dinikmati majikan

HUBUNGAN majikan dan pekerja ibarat irama dan lagu, kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain demi kelangsungan operasi syarikat.

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

Carum Perkeso untuk dilindungi walau bekerja sendiri kerana malang tidak berbau!

MATLAMAT utama mengumpul duit dan trip perjalanan, tapi adakah pemandu pengangkutan awam menyedari ‘malang tidak berbau’ ketika bekerja?

default image

Teknologi analitik data raya asas pelaksanaan inisiatif kerajaan masa depan – Saifuddin Nasution

PROGRAM Subsidi Petrol merupakan inisiatif kerajaan untuk meringankan beban isi rumah berpendapatan rendah melalui pengagihan semula subsidi petrol.

default image

Agenda bumiputera masih keutamaan WKB 2030

STATISTIK oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa), bumiputera berada di bahagian bawah apabila ia berkaitan dengan pemilikan kekayaan dan tahap pendapatan.

Artikel Lain