suria

DAP Tidak Ikhlas, Tiada Niat Bantu Melayu - KJ

PETALING JAYA: Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyifatkan DAP tidak ikhlas, malah tiada niat membantu agenda Melayu apabila Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mencadangkan kerajaan negeri memansuhkan diskaun bumiputera dalam pembelian rumah berharga RM500,000 ke atas dan hartanah komersial berharga lebih RM2 juta di negeri Selangor.

Memetik kata-kata Khairy dalam dalam blognya bertajuk 'Isu Diskaun Bumiputera', Ahli Parlimen Rembau ini kesal apabila Pua langsung tidak mencadangkan sebarang dasar lain untuk membetulkan ketidakseimbangan yang berlaku sebelum mengemukakan saranan, jika benar sekali pun tidak bersetuju dengan diskaun 7 peratus tersebut.

"Ini jelas mendedahkan DAP tidak ikhlas malah tiada niat untuk membantu agenda Melayu, walaupun mereka tidak henti-henti cuba menjaja persepsi kononnya DAP adalah parti untuk seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum," katanya yang dipetik melalui blog www.rembau.net.

Menurut Khairy, Pua tidak menyentuh dan mengkaji isu-isu berkaitan dasar tersebut sebelum memberi hujah-hujah cetek dan 'separuh masak' beliau.

Khairy mengambil contoh dakwaan yang sering didengari mengenai pemaju yang tidak bertanggungjawab sengaja menipu dengan mengisyitiharkan kuota untuk Bumiputera tidak boleh dijual seterusnya memohon pihak berkuas agar hartanah tersebut dijual kepada bukan Bumiputera atas harga tanpa diskaun.

Khairy yang menolak cadangan DAP berhubung isu ini berkata jika pemansuhan ini dilaksanakan, segala usaha dan galakan untuk mengimbangi pemilikan hartanah di Selangor pasti akan gagal, seterusnya melebarkan jurang ekonomi antara kaum.

Jelasnya, cadangan Pua mungkin dipersetujui jika dilihat dari kanta ekonomi semata-mata, tetapi jika melihat kepada pegangan hartanah Bumiputera di setiap peringkat, angkanya jauh ketinggalan berbanding kaum lain.

Hal ini dibuktikan dengan pemilikan bangunan oleh Bumiputera yang angkanya cuma 15.7 peratus, berdasarkan statistik yang dikeluarkan pada tahun 2007.

Bagi hartanah komersial, Bumiputera hanya memiliki sekitar 29.2 peratus untuk kompleks perniagaan dan 3.5 peratus untuk premis perindustrian.

"Sekiranya kita mengambil kira premis-premis komersial di kawasan bandar dengan harga RM2 juta ke atas, saya percaya peratus pegangan Bumiputera begitu rendah.

"Antara faktor penentu kos sesuatu premis adalah lokasi, bukan semata-mata saiz atau keluasan.

"Sekiranya cadangan Pua dilaksanakan, amat sukar bagi usahawan Bumiputera untuk berniaga di lokasi strategik, lantas hanya terhad kepada pinggiran bandar semata-mata," katanya.

Alasan dan hujah Pua berhubung hartanah yang dibeli dengan harga diskaun dan dijual semula dengan harga yang lebih tinggi oleh broker atau orang tengah turut tidak diterima Khairy.

"Saya tidak langsung boleh menerima alasan ini kerana jika pelaksanaan menjadi masalah, maka wajarlah kita manangani kelemahan dan bukannya memansuhkan terus dasar diskaun Bumiputera ini," katanya.

Khairy, menerusi blognya juga turut mencadangkan langkah seperti memastikan status dan klasifikasi lot Bumiputera tidak diubah bagi mengelak sebarang pihak yang membeli hartanah tersebut dengan harga diskaun dan menjualnya dengan keuntungan harga pasaran secara terbuka.

Bagi masalah pemilik Bumiputera menjual kepada pembeli Bumiputera lain dengan harga pasaran lebih tinggi, Khairy berkata ia boleh ditangani dengan mewajibkan tempoh khusus atau 'moratorium' sebelum seseorang pemilik yang membeli rumah dengan harga diskaun Bumiputera dibenarkan menjual semula rumah tersebut, walaupun kepada Bumiputera lain.

Ketegasannya berhubung isu ini dapat dilihat apabila Khairy mengingatkan kepada semua bahawa diskaun ini berkait rapat dengan galakan pemilikan, bukan suatu tiket keuntungan.

Artikel Lain