suria

Pegawai Polis Tolak Rasuah RM55,000 Daripada Seorang Pengedar Dadah

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai polis yang bertugas dengan Jabatan Narkotik Kuala Lumpur tidak mengalah kepada godaan tawaran wang tunai RM55,000 daripada seorang pengedar dadah.

Sebaliknya, C/Insp M. Suresh, 41, memilih untuk menangkap suspek yang berumur 46 tahun itu dan merampas wang dan dadah jenis syabu seberat kira-kira 100gram yang disembunyikan dalam sebuah kereta milik suspek apabila kenderaannya ditahan berdekatan kondominium Vista Mutiara, Kepong pada kira-kira pukul 8 malam dua hari lepas.

Berikutan itu, suspek itu membawa pegawai polis itu dan beberapa orang anggota polis yang lain ke unit kondominium sewaannya di mana polis menangkap rakan wanitanya seorang warga Thai di mana polis merampas 60gram lagi dadah jenis itu dari unit kondominium itu.

Suresh, yang yang berkhidmat selama 19 tahun, ketika dihubungi berkata beliau hanya menjalankan tugasnya dan sebelum ini beliau telah menangkap seorang lelaki yang cuba merasuahnya semasa berkhidmat dengan kontinjen polis Kelantan.

"Kami telah dilatih untuk mendukung integriti pasukan sepanjang masa dan tidak mudah tewas dengan sebarang godaan," katanya.

Ketua Jabatan Narkotik Kuala Lumpur ACP Kang Chez Ching ketika dihubungi, Selasa mengesahkan tangkapan suspek itu dan pada masa ini polis sedang menyoal siasat suspek itu atas kesalahan memiliki dadah dan dan disiasat atas kesalahan rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Saya bangga dengan pegawai saya kerana tahap integritinya yang tinggi dan menunjukkan teladan yang baik kepada rakan pegawainya yang lain," kata Kang. - BERNAMA

Artikel Lain