suria

Ekosistem Perlu Dioptimumkan Bagi Subur Inovasi - PM

CYBERJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bagi menyuburkan inovasi, persekitaran bagi membolehkan seseorang itu melakukan inovasi perlu dioptimumkan.

"Ini bermakna ekosistem perlu menyokong dan tidak mengekang inovasi," katanya pada majlis pelancaran "Malaysia: Konvensyen Nasional Negara Inovasi" di Universiti Lim Kok Wing di sini Selasa.

"Para pelakon di dalam ekosistem itu perlu mempunyai akses terhadap keadaan yang betul yang menggalakkan dan merangsang keadaan, mencabarnya bagi melakukan inovasi. Ini merupakan satu perseimbangan yang sukar untuk dicapai kerana terdapat banyak faktor yang perlu diteliti dan ditangani," katanya.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan adalah satu komponen penting di dalam ekosistem yang menggalakkan inovasi.

"Terdapat cakap-cakap mengenai Napoleon Kecil. Kita tidak boleh mempunyai Napoleon Kecil yang tidak memahami inovasi. Napoleon agak pintar sebagai nukleas pakar strategi tetapi kita tidak memerlukan orang yang sebenarnya memahami apa yang perlu dilakukan untuk menyokong inovasi."

"Ini ialah kerana peranan warga perkhidmatan awam sangat penting menyokong ekosistem itu yang akan memupuk inovasi untuk dizahirkan," katanya.

Najib berkata kerajaan telah melaksanakan program transformasi kerajaan yang mulai menunjukkan hasil yang baik.

"Kita tidak boleh berhenti setakat ini. Lebih banyak lagi perlu dilakukan. Kita perlu membawa masuk inovasi ke dalam kerajaan dan kerajaan ke dalam inovasi," katanya, sambil menyatakan bahawa ia akan melibatkan setiap peringkat sektor perkhidmatan awam.

Perdana Menteri juga berkata para pembuat keputusan di dalam kerajaan perlu mahir dengan inovasi.

"Ini akan membolehkan mereka menggubal kerangka kerja, kawal atur dan dasar yang menyokong inovasi dan bukan mengekang pertumbuhannya.

"Tanpa satu persekitaran kawalan atur yang bersesuaian, inovasi tidak boleh merangsang pertumbuhan ekonomi," katanya.

Bagi memakmurkan ekosistem itu, Najib berkata sistem pendidikan juga memerlukan keupayaan berfikir yang kreatif.

"Kreativiti, tidak seperti yang difikirkan sebelum ini, adalah sangat teratur dan merupakan aktiviti yang sistematik."

"Michelangelo, seorang pelukis dan pengukir cemerlang Itali pada kurun ke-16, merupakan seorang yang sangat pintar di dalam penggunaan kaedah dan struktur di dalam proses melakukan kreativitinya sehingga diarinya boleh dibaca seperti satu jurnal saintifik.

"Keupayannya mencipta karya ulung dilakukan secara tepat dan tidak lebih kurang, sama seperti yang dilihat di dalam industri berteknologi tinggi.

"Bagi membolehkan ekosistem berinovasi memanfaatkan negara ini, kita perlu memupuk bentuk pemikiran kreatif sedemikian di dalam sistem pendidikan kita, bagi memupuk masyarakat melakukan sesuatu dengan tepat," kata Najib. - BERNAMA

Artikel Lain