PM Yakin Johor Akan Terus Jadi Kubu Kuat Umno, BN - Semasa | mStar

PM Yakin Johor Akan Terus Jadi Kubu Kuat Umno, BN

JOHOR BAHARU: Perdana Menteri melahirkan keyakinan negeri Johor akan terus kekal menjadi kubu kuat kepada Barisan Nasional (BN) dan Umno, sebagaimana yang telah berlaku sejak dahulu lagi.

Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden Umno berkata, walaupun begitu usaha mengukuhkan perpaduan dan kesetiaan di kalangan pemimpin dan anggota Umno Johor perlu terus diperkukuhkan.

"Saya yakin kita akan terus menang di Johor, tetapi kejayaan itu perlu disusuli dengan usaha mengukuhkan kesetiaan dan perpaduan di kalangan anggota.

Jangan ada cerita-cerita sumbang," katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Pulai serta Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat di sini hari ini.

Katanya, Umno sememangnya merupakan kubu kuat kepada Umno sejak zaman pengasasnya Allahyarham Datuk Onn Jaafar dan aspek itu perlu dipertahankan dan dikekalkan oleh anggotanya sehingga kini dan masa depan.

Perdana Menteri meminta setiap pemimpin dan anggota Umno Johor supaya "menjaga Johor baik-baik" dan memastikan ia terus menjadi kubu kuat kepada Umno serta BN, walaupun menyedari ia kini menjadi tumpuan parti pembangkang.

"Jagalah kawasan kita (Johor) baik-baik sebab pembangkang menyerang Johor kerana mengetahui negeri ini adalah kubu kuat kepada Umno dan BN," katanya.

Untuk memastikan Johor terus kekal menjadi kubu kuat kepada Umno dan BN, Perdana Menteri juga menasihatkan anggota parti supaya sentiasa mengamalkan kerja sebagai sebuah pasukan.

Katanya, perlawanan suku akhir bola sepak Piala Dunia 2010 di antara Brazil dan Belanda sebagai contoh di mana kelonggaran semangat berpasukan telah mengakibatkan Brazil tewas 1-2 di tangan Belanda.

Gol pertama Belanda pada perlawanan itu, kata Perdana Menteri, merupakan gol sendiri yang terhasil akibat salah faham di antara pemain pertahanan dan penjaga gol Brazil.

Najib juga meminta pemimpin Umno daripada bahagian yang sama tetapi turut memegang jawatan anggota Parlimen dan anggota Dewan Undangan Negeri, supaya terus bekerjasama sebagai satu pasukan bagi mengelak "menjaringkan gol sendiri."

Perdana Menteri turut meminta pemimpin Umno supaya tidak "syok" sendiri dengan sokongan yang diterima mereka daripada anggota parti dan ketua-ketua cawangan di bahagian mereka.

Katanya, sokongan daripada anggota parti sendiri itu tidak membawa erti jika sebahagian besar masyarakat tidak berpuas hati dengan perkhidmatan dan kerja yang dilaksanakan olehnya.

Pemimpin dan anggota Umno, menurut beliau, perlu responsif dan "mendengar degup nadi rakyat" dengan memberikan perkhidmatan terbaik dalam menyelesaikan segala permasalahan yang dihadapi oleh rakyat.

Najib berkata, tidak ada parti politik lain yang dapat mengambil alih peranan yang dimainkan oleh Umno di dalam menentukan kelangsungan hidup orang-orang Melayu.

"Umno tiada gantinya atau alternatif. Tidak ada parti lain selain daripada Umno (di dalam memperjuangkan masa depan orang Melayu)," kata Perdana Menteri.

Selain itu, katanya, Umno sebagai parti teras di dalam BN juga perlu memahami aspirasi kaum-kaum lain dan tidak hanya yang berkenaan dengan orang Melayu.

Turut hadir pada majlis perasmian itu adalah Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman yang juga merupakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri dan Ketua Umno Bahagian Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Percutian travel tren janjikan servis 'awesome' dan 1,001 pengalaman menakjubkan!

TRAVEL serata dunia lebih pantas dengan menggunakan kapal terbang tetapi amat menyeronokan jika tren menjadi pilihan.

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

Agenda bumiputera masih keutamaan WKB 2030

STATISTIK oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa), bumiputera berada di bahagian bawah apabila ia berkaitan dengan pemilikan kekayaan dan tahap pendapatan.

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

default image

Ketuhar Panasonic Big Cubie memang power! Memasak kini lebih mudah, hidangan lebih sihat dan lazat

ANDA mahu memasak hidangan dalam waktu singkat? Panasonic Big Cubie boleh membantu.

Artikel Lain