suria

Lima Ditahan Positif Dadah Di Batu Feringghi

PULAU PINANG: Polis menyerbu sebuah pusat hiburan haram di Batu Feringghi di sini awal pagi Ahad dan menahan lima lelaki tempatan yang di dapati positif dadah serta dipercayai membawa dadah.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kok Meng berkata serbuan bermula 12.30 tengah malam oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Narkotik dan Bahagian Kongsi Gelap Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Daerah Timur Laut.

Kira-kira 350 orang pengunjung termasuk pekerja pusat hiburan tersebut diperiksa.

"Hasil pemeriksaan air kencing mendapati empat daripadanya positif dadah jenis ketamin dan ganja semenara seorang lelaki dipercayai membawa satu tiub serbuk yang disyaki dadah jenis Eramin," katanya.

Beliau berkata suspek yang disyaki membawa dadah jenis Eramin itu cuba bertindak untuk melarikan diri dengan merempuh anggota polis di pintu keluar pusat hiburan itu tetapi berjaya ditangkap oleh polis.

Gan berkata pemeriksaan juga mendapati premis itu tidak mempunyai lesen hiburan untuk menjalankan perniagaan.

"Premis itu pernah diserbu sebelum ini atas kesalahan yang sama iaitu tidak mempunyai lesen perniagaan," katanya.

Kesemua mereka yang ditahan berumur antara 20 hingga 30 tahun.

"Mereka yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara tiga tahun atau RM5,000 jika sabit kesalahan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain