suria

Status PR Kepada Pelajar Asing Bantu Majukan Negara - Khaled

TANAH MERAH: Cadangan Kementerian Pengajian Tinggi untuk memberikan status pemastautin tetap (PR) kepada pelajar luar negara terpilih bertujuan mendapatkan idea pelajar itu untuk memajukan negara apabila berkhidmat di dalam negara.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata semua pihak perlu berpandangan positif dengan cadangan itu, yang dipraktikkan di beberapa negara maju seperti di Amerika Syarikat.

"Hanya ambil pelajar asing yang mengikuti pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) sahaja, dan mereka ini diperlukan untuk menjadi penyelidik atau pensyarah di universiti tempatan," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Tanah Merah di sini, pada Sabtu.

"Ilmu mereka ini yang diperlukan dan ia berkonsepkan kepada perkongsian ilmu dengan penyelidik tempatan dan luar negara yang seterusnya dapat membangunkan negara dengan lebih cemerlang pada masa depan," tambahnya.

Baru-baru ini Kementerian Pengajian Tinggi berkata cadangan untuk menawarkan pemberian status PR kepada pelajar dari luar negara perlu dikaji sebagai langkah menggalakkan pelajar berkenaan berkhidmat dalam negara sebaik tamat pengajian.

Bagaimanapun pemberian status itu bukan untuk semua pelajar sebaliknya kepada penuntut yang sedang melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dan doktor falsafah (PhD) serta yang ditaja kementerian sahaja.

Mengulas isu itu lagi Mohamed Khaled berkata rakyat perlu faham bahawa kerajaan sama sekali bukan sewenang-wenangnya memberikan status PR itu sebaliknya ia diberikan kepada mereka yang layak sahaja.

"Ketika negara lain berlumba mengambil rakyat negara luar berkhidmat, kenapa tidak Malaysia juga mengambil peluang yang sama seperti mereka," katanya.

"Apa pun kementerian masih lagi mengkaji cadangan itu dengan lebih mendalam sebelum membuat keputusan muktamad," tambahnya.

Menyentuh mengenai formula pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Mohamed Khaled berkata formula itu adalah sangat adil kepada semua kaum dalam negara, dan dipersetujui semua pihak.

Beliau berkata formula yang diguna pakai itu ialah 60 peratus berdasarkan komposisi kaum, 20 peratus berdasarkan merit dan masing-masing 10 peratus kepada bumiputera Sabah dan Sarawak serta kepada mereka yang tidak bernasib baik. -BERNAMA

Artikel Lain