suria

BN Perlu Hadapi Perubahan Landskap Politik - Zambry

LUMUT: Barisan Nasional (BN) perlu menggunakan pendekatan baru ke arah mendapatkan semula sokongan rakyat, sekali gus memastikan gagasan itu terus relevan untuk menerajui pemerintahan negara, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata semua anggota, terutamanya pemimpin BN perlu belajar dan memahami semula landskap politik negara yang kini telah berubah sama sekali.

"Landskap politik negara kini telah berubah dan tidak serupa lagi dengan keadaan di masa yang lalu. Justeru, saya menggesa semua ahli dan pimpinan parti BN supaya dapat mengkaji dan memahami landskap politik pada masa kini kerana segalanya telah berubah dan perlukan pendekatan baru dengan menukar metodologi lama yang telah ketinggalan," kata Zambry yang juga Pengerusi BN Perak.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Lumut di sini hari ini, beliau berkata BN juga perlu melakukan transformasi dengan memperluaskan gandingan muka baru dan lama bagi memberi keyakinan kepada rakyat pada pilihan raya umum akan datang.

Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang diperkenalkan sebelum ini akan membuka ruang kepada rakyat untuk sama-sama menilai sama ada wakil rakyat menjalankan peranan dan tugas yang ditetapkan, katanya.

"Berapa kali mereka (wakil rakyat) turun padang... berjumpa dan menyelesaikan masalah rakyat di kawasan masing-masing semuanya direkodkan," katanya.

Menteri Besar berkata melalui KPI juga, pucuk pimpinan dapat menyelami perasaan rakyat terhadap wakil-wakil rakyat. -BERNAMA

Artikel Lain