suria

Suara Keadilan Akan Merayu

PETALING JAYA: Akhbar Suara Keadilan akan membuat rayuan sekiranya keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus memutuskan untuk menggantung permit akhbar Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Bagaimanapun Editor akhbar itu, Dzulkarnain Taib berkata, pihaknya akan tetap dengan pendirian asal berhubung kenyataan yang disiarkan menerusi artikel bertajuk “Felda bankrap”.

“Artikel berkenaan berdasarkan fakta dan satu kenyataan yang adil. Jadi, kami tidak perlu mengubah pendirian mengenainya.

"Buat masa ini, kami menunggu keputusan daripada KDN untuk mempertimbangkannya,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam kenyataan KDN itu, permohonan pembaharuan permit Suara Keadilan yang tamat tempoh pada 30 Jun lalu akan hanya dipertimbangkan apabila penjelasan yang memuaskan diterima daripada pihak berkenaan.

Menurut KDN lagi, satu surat akan dikeluarkan bagi memaklumkan agar tidak mencetak penerbitan akhbar itu sehingga satu keputusan mengenai permohonan pembaharuan permit tersebut dikeluarkan oleh kementerian.

KDN telah memutuskan untuk tidak memperbaharui permit penerbitan Suara Keadilan yang tamat semalam yang didakwa melanggar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Akhbar Suara Keadilan pada keluaran bertarikh 22-26 Jun lepas menyiarkan berita utama di muka hadapan bertajuk "Felda Bankrap" dan empat lagi artikel di dalam keluaran sama.

Dalam kenyataannya, KDN tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh sidang redaksi akhbar tersebut berhubung beberapa perkara.

Dzulkarnain berkata, buat masa ini KDN sudah membuat keputusan untuk menggantung permit Suara Keadilan dan mereka terpaksa akur dengan keputusan itu untuk tidak mencetak akhbar itu pada masa ini.

“Kalau kami terus cetak, nanti dipersalahkan pula. Nanti mereka kata itulah sebab permit kita patut digantung,” katanya

Katanya, beliau telah dimaklumkan mengenai pergantungan permit itu melalui surat yang diserahkan oleh KDN pagi tadi dan diminta untuk memberikan penjelasan kedua.

Katanya, beliau akan mendapatkan penjelasan terus daripada Setiausaha Bahagian Penerbitan dan Teks al-Quran KDN, Datuk Zaitun Ab Samad terlebih dahulu.

“Selepas itu, baru kami akan memberikan penjelasan kedua supaya permit dapat diperbaharui semula,” tambahnya lagi.

Beliau berkata, Suara Keadilan merupakan lidah rasmi PKR.

Katanya, jika ada kenyataan yang menimbulkan persoalan mengenai mana-mana perkara, maka rakyat akan meminta untuk mendapatkan jawapan sebagai penjelasan.

“Bila sudah ada jawapan, mereka akan membuat rumusan, sama ada puas hati atau tidak dengan kenyataan itu. Jika tidak, mereka akan terus bertanya.

“Jika betul, rakyat sudah pasti akan menyokong kerajaan. Kalau tidak betul, keputusannya akan dilihat pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Menurut Dzulkarnain, KDN merupakan perkhidmatan awam untuk rakyat maka diharapkan keputusan itu lebih telus dan adil, tanpa dipengaruhi mana-mana parti politik.

Katanya, setiap artikel yang disiarkan di dalam akhbar itu sekadar memberikan pandangan di luar kotak dan kenyataan mengenai Felda itu berdasarkan fakta dan cara yang profesional.

“Artikel tersebut bukan satu ancaman kepada Felda yang menyifatkan ia sebagai satu fitnah kepada organisasi berkenaan.

“Jika mereka (Felda) tidak berpuas hati dan mahu menyaman, kami bersedia. Biarkan mahkamah membuat keputusan lebih adil mengenainya,” ujarnya.

Artikel Lain