suria

PKR Adakan Permukiman Dua Hari Di Shah Alam Mulai Esok

KUALA LUMPUR: Persediaan menghadapi pilihan raya menjadi antara agenda yang akan dibincangkan pada sesi permukiman dua hari Parti Keadilan Rakyat (PKR) mulai esok di Shah Alam.

Pengarah strategik PKR Tian Chua berkata, lima kertas kerja akan dibentangkan pada sesi berkenaan yang akan dihadiri oleh anggota Majlis Tertinggi parti.

Beliau berkata, selain persediaan menghadapi pilihan raya, mereka juga dijangka membincangkan perkara berhubung penyebaran maklumat dan struktur organisasi dalam bengkel yang akan diadakan.

"Kami akan berusaha menghasilkan beberapa resolusi... atau program kerja untuk parti," kata Anggota Parlimen Batu itu kepada Bernama menerusi telefon di sini hari ini.

Beliau berkata, Ketua Pembangkang dan penasihat parti Datuk Seri Anwar Ibrahim akan turut menghadiri permukiman berkenaan.

Permukiman itu diadakan berikutan laporan bahawa sekumpulan 15 Anggota Parlimen daripada PKR bergabung tenaga untuk menyingkirkan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain