suria

Mayat Buruh Lemas Di Sungai Besut Ditemui

BESUT: Mayat seorang lelaki, yang hilang selepas terjun ke dalam Sungai Besut petang semalam, ditemui tersangkut pada akar kayu bakau oleh penduduk kampung, tengah hari ini.

Ketua Polis Daerah Besut, Supritendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata mayat Shamsul Fazila Mohamad, 33, seorang buruh binaan ditemui tidak jauh daripada tempat dia dikatakan lemas di tebing Sungai Besut, dekat Pangkalan Sawmill, di sini.

Kamaruddin berkata dalam kejadian pukul 4.30 petang semalam, Shamsul Fazila dipercayai terkejut melihat kehadiran anggota peronda polis membuat rondaan rutin di kawasan itu.

"Beliau terus melarikan diri dan terjun ke sungai itu sebaik ternampak anggota polis. Beliau bagaimanapun tenggelam dan hilang dibawa arus selepas berenang kira-kira 15 meter dari tebing," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Operasi mencari yang disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan polis digerakkan petang semalam dan bersambung sehinggalah mayat mangsa ditemui kira-kira pukul 1 tengah hari.

Kamaruddin berkata jenazah Shamsul Fazila dihantar ke Hospital Daerah Besut di Jerteh untuk bedah siasat, sebelum dituntut keluarganya untuk urusan pengkebumian. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain