suria

Kes Malaria Di Sabak Bernam Daripada Jangkitan Luar Negara

SHAH ALAM: Sebanyak empat kes malaria termasuk satu kematian yang dikesan di Bagan Sekinchan, Sabak Bernam pada 16 Jun lepas berpunca daripada jangkitan dari luar negara dan bukan akibat penularan tempatan, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Kementerian Kesihatan Datuk Dr Hasan Abdul Rahman.

Dr Hasan berkata satu kematian telah dilaporkan di kawasan tersebut pada 16 Jun lepas dan setelah disiasat mendapati mangsa, 35, adalah seorang pekerja asing dari Myanmar yang bekerja sebagai nelayan di Bagan Sekinchan bersama tiga rakan senegaranya.

Mereka telah sampai ke negara ini pada 6 Jun lepas dan tidak pernah menjalani pemeriksaan kesihatan, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini mengulas mengenai berita yang disiarkan oleh akhbar Sin Chew Jit Poh bertarikh 23 Jun lepas.

"Mangsa mula menunjukkan gejala demam sehari selepas tiba (7 Jun) dan hanya mendapatkan rawatan pada 12 Jun di sebuah klinik swasta selepas kembali dari lautan dan diberi rawatan pesakit luar. Mangsa mendapatkan rawatan kedua pada 15 Jun di klinik sama dan terus dirujuk ke Hospital Tanjong Karang dan kemudiannya ke Hospital Sungai Buloh pada hari yang sama.

"Beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi tetapi meninggal dunia keesokan harinya (16 Jun) akibat komplikasi malaria. Tiga rakan senegara mangsa juga didapati positif malaria, seorang telah sembuh dan dibenarkan pulang sementara dua lagi masih dirawat di hospital," katanya.

Dr Hasan berkata hasil siasatan Pejabat Kesihatan Daerah Sabak Bernam pada 16 Jun lepas, pemeriksaan ke atas 10 rakan sekerja mangsa di dalam bot menangkap ikan yang sama mendapati bahawa mereka negatif bagi malaria dan contoh darah daripada 122 penduduk tempatan serta 219 pekerja asing untuk pemeriksaan malaria juga diambil di mana kesemuanya juga disahkan negatif.

"Oleh itu tiada tanda-tanda jangkitan ini telah menular di kalangan penduduk tempatan," tegasnya.

Beliau berkata kawasan Sekinchan merupakan kawasan bebas malaria di mana tiada kes malaria tempatan dilaporkan sejak 5 tahun kebelakangan ini dan memandangkan pekerja-pekerja asing terbabit menghabiskan masa mereka di lautan ketika mengalami gejala malaria, kemungkinan mereka menularkan jangkitan malaria kepada penduduk tempatan adalah sangat rendah.

Bagaimanapun Dr Hasan berkata penduduk dan pekerja asing yang mengalami gejala demam panas diikuti dengan rasa sejuk, menggigil dan berpeluh perlulah segera mendapat rawatan di klinik atau hospital berdekatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain