suria

Lelaki 58 Tahun Dibunuh Dua Hari Sebelum Bertunang

MELAKA: Hasrat seorang lelaki berusia 58 tahun untuk bertunang dengan wanita pilihannya Sabtu ini, tidak kesampaian apabila dia ditemui mati dibunuh di rumahnya di Taman Saujana Seksyen 2, Bukit Katil di sini, hari ini.

Mayat Mohd Redzwan Ali ditemui dalam keadaan duduk di atas sofa bilik rehat rumahnya dengan tangan terikat dan dua kesan tikaman di dada.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Mohd Adnan Abdullah berkata kejadian dipercayai berlaku antara pukul 9.30 malam dan 3.15 pagi.

"Tiada kesan pecah masuk ditemui di rumah mangsa. Kemungkinan rumah itu dimasuki oleh orang yang dikenali mangsa," katanya kepada pemberita di sini.

Mohd Adnan berkata motif kejadian dipercayai rompakan kerana beberapa peralatan komputer seperti dua monitor LCD dan satu CPU komputer hilang.

Menantu mangsa, Suhaimi Sulong, 34, berkata mayat bapa mentuanya ditemui adik iparnya Ashraf Raznan, 27, selepas pulang daripada berniaga di warung makanan di kawasan Cheng di sini, kira-kira pukul 3.15 pagi dalam rumah yang berselerak.

Bakal tunang mangsa, Noraini Hassan, 30, berkata beliau tergamam ketika mengetahui kejadian itu setelah dihubungi Ashraf Raznan dan sukar mempercayai kejadian itu berlaku kepada bakal tunangnya.

Beliau yang mengenali Mohd Redzwan lebih setahun lepas, berkata kali terakhir berjumpa dengan bakal tunangnya itu semalam ketika pergi membeli barangan keperluan untuk pertunangan mereka.

"Semalam kami dah beli cincin dan tempah kek, cincin dia pegang, resit dia bagi saya suruh saya simpan, saya tidak boleh tahan rasa sedih bila ingat semua ini," katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Melaka di sini.

Beliau berkata mereka merancang untuk melangsungkan perkahwinan bulan depan.

"Walaupun usianya jauh lebih tua daripada saya, itu tidak menghalang saya untuk menyayanginya kerana dia mempunyai hati yang baik dan selalu menggembirakan saya...dia amat suka bergurau," kata Noraini.

Abang mangsa, Muhamad Ali, 66, berkata adiknya itu memaklumkan kepadanya beliau akan melangsungkan pertunangan dengan wanita pilihannya Sabtu ini.

"Minggu lepas beliau (mangsa) telefon saya kata nak bertunang 26 Jun di Bakri, Muar. Saya kata baguslah kalau macam itu, taklah lama sangat menduda," katanya yang kali terakhir bertemu mangsa dua bulan lepas di kediamannya di Bandar Baru Uda, Johor Baharu. - BERNAMA

Artikel Lain