suria

ADUN Malim Nawar Keluar Parti, Isytihar Bebas

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar, Perak daripada DAP, Keshvinder Singh meninggalkan sidang akhbar selepas beliau mengumumkan keluar daripada parti itu. Foto The Star oleh M. Azhar Arif
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar, Perak daripada DAP, Keshvinder Singh meninggalkan sidang akhbar selepas beliau mengumumkan keluar daripada parti itu. Foto The Star oleh M. Azhar Arif
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar, Perak daripada DAP, Keshvinder Singh meninggalkan sidang akhbar selepas beliau mengumumkan keluar daripada parti itu. Foto The Star oleh M. Azhar Arif

SUBANG JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar di Perak hari ini mengisytiharkan keluar daripada DAP dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Keshvinder membuat keputusan itu kerana mendakwa kecewa dengan kepimpinan Pakatan Rakyat di negeri itu yang terlalu banyak berpolitiking sehingga mengabaikan tugas sebagai wakil rakyat.

“Bagi menjaga kepentingan rakyat dan pembangunan yang berterusan saya membuat keputusan untuk menyokong dan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Perak di bawah pimpiman Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

“Keputusan ini merupakan pengorbanan saya kepada rakyat di kawasan saya. Saya sedar saya bakal menghadapu tuduhan dan cemuhan daripada pelbagai pihak.

“Demi kepentingan dan kesejahteraan masa depan rakyat saya memilih untuk meninggalkan DAP dan Pakatan Rakyat,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau yang juga seorang peguam berkata, surat peletakkan jawatannya telah diserahkan kepada Setiausaha Agung parti, Lim Guan Eng awal pagi tadi.

“Keputusan yang saya buat ini juga mengambil pengamatan saya selama 15 bulan terhadap corak kepimpinan Menteri Besar dan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

“Saya amat menyakini corak dan cara kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) hari ini terutamanya konsep 1Malaysia yang merupakan pendekatan realiti terbaik untuk rakyat di negara ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, wakil rakyat terbabit menafikan dakwaan beliau menerima ganjaran wang tunai sejumlah RM2 juta untuk meninggalkan parti.

“Saya yakin saya bersih. Anda boleh semak akaun bank, saya tidak pernah menerima sebarang ganjaran daripada mana-mana pihak,” katanya.

Jelasnya, buat masa ini beliau akan kekal sebagai wakil rakyat Bebas dan tidak akan menyertai mana-mana parti.

“Saya tidak ada cadangan untuk menyertai mana-mana parti. Saya mahukan sokongan daripada kerajaan negeri dalam membantu memberikan peruntukan kepada saya untuk mengatasi masalah penduduk,” katanya.

Kesvinder berkata tindakan tersebut dibuat selepas beliau mengambil kira semua perkara tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

“Keputusan ini saya ambil selepas saya meneliti secara mendalam dan mengambil kira pendapat pelbagai pihak. Tindakan ini diambil tanpa tekanan.

“Saya berharap semua pihak terutama penduduk di kawasa saya dapat menerima dan menghormati keputusan ini kerana ia dibuat demi kebaikan rakyat,” ujarnya.

Keshvinder adalah Adun DAP kedua keluar parti itu selepas ADUN Jelapang, Datuk Hee Yit Foong, awal tahun lalu, yang menyaksikan kerajaan Pakatan Rakyat Perak tumbang.

Dengan keputusan itu, bilangan pembangkang di Dewan Undangan Negeri sekarang ini adalah 27 orang berbanding 28 yang dikuasai oleh BN manakala wakil Bebas pula adalah empat orang.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Keshvinder mengalahkan calon BN, Dr Chai Song Poh dengan majoriti 1,362 undi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain