suria

Nenek Tidak Sempat Tunai Buat Air Milo Untuk Syafiah Humaira

SHAH ALAM: Suasana sebak menyelubungi Mahkamah Tinggi di sini hari ini, apabila nenek kepada Syafiah Humaira Sahari yang mati dibunuh, menangis semasa menceritakan bahawa dia tidak sempat menunaikan permintaan terakhir kanak-kanak itu yang memintanya membuat air milo.

Azizah Bodin, 47, seorang operator kilang berkata, kejadian berlaku sehari sebelum kematian Syafiah Humaira, kanak-kanak periang yang manja dipanggil ‘Pia’.

“Saya nak naik motosikal untuk ke tempat kerja. Tiba-tiba Pia bangun dan kejar saya kata nak air milo. Saya tak sempat nak buat kerana dah lambat nak ke tempat kerja.

"Saya panggil Hafifa (Siti Nurhafifa Aziz, anak saksi) untuk buat. Lepas itu saya tak jumpa Pia lagi,” katanya sambil menangis.

Tangisan Azizah yang memberi keterangan selaku saksi pendakwaan ke-11 juga semakin kuat apabila dia enggan melihat gambar bedah siasat Syafiah Humaira selepas diminta berbuat demikian oleh Timbalan Pendakwa Raya Zureen Elina Mohd Dom.

Melihat keadaan itu, Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki berkata: “Undang-undang buta, tetapi kita semua manusia. Kamu tahu apa akan berlaku jika kamu benarkan seorang nenek melihat gambar cucu yang disayanginya (dalam keadaan itu)”.

Azizah juga memberitahu, dia melarang Syafiah Humaira daripada pergi ke rumah tertuduh, Mohd Fazli Azri Jamil, 28, yang dipanggil Mat, terutamanya selepas melihat kesan cedera seperti calar dan dicucuh putung rokok pada badan kanak-kanak itu.

“Saya cakap pada Pia jangan pergi rumah abang Mat lagi dan Pia jawab ‘ya, jangan pergi ke rumah Abang Mat lagi ya wan (gelaran Azizah). Pia tanya untuk pastikan. Saya tanya dia Pia tak sayang wan lagi ke? Dan Pia cakap ‘sayang’,” katanya.

Saksi juga menambah, berita kematian Syafiah Humaira diterima pada tengah malam, 25 Februari lalu menerusi Siti Nurhafifa yang menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada ibu Syafiah Humaira, Siti Nurhanim Aziz.

“Saya tak tahu nak percaya atau tidak. Saya tak tentu arah,” katanya lagi.

Mengenai Syakimie Iqbal, iaitu anak kepada tertuduh bersama Siti Nurhanim, Azizah memberitahu dia hanya mengetahui perkara itu selepas kejadian dan pada pengetahuannya Siti Nurhanim berkahwin dengan seorang anggota polis, Sahari Usul. Sahari Usul kini ditahan reman di Penjara Sungai Buloh, dekat sini, sementara menunggu perbicaraan bagi kesalahan membunuh.

Selain Syafiah Humairah, dia juga mempunyai seorang lagi anak, Syafiq Haikal.

Mohd Fazli Azri, seorang pemandu teksi sedang dibicarakan atas tuduhan membunuh Syafiah Humairah, 3 tahun 4 bulan di padang bola, Jalan Utama, Kawasan Rumah Murah Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali, dekat sini.

Dia yang diwakili peguam Gurbachan Singh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung esok.

Artikel Lain