suria

Stefanie Dibebaskan Imigresen Indonesia

JAKARTA: Gadis bawah umur dari Sarawak Stefanie Anak Langka yang memasuki Indonesia tanpa dokumen perjalanan yang sah bersama kekasihnya dari Lombok tiga bulan lalu, hari ini dibebaskan Imigresen Indonesia dari tahanan.

Stefanie yang diselamatkan oleh Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno Malaysia di Pulau Lombok pada 20 Mei lepas akan diiringi oleh pegawai biro itu dalam penerbangan pulang ke Kuching pukul 8.30 malam ini.

Pengerusi biro itu Datuk Muhammad Khairun Aseh berkata esok pukul 8.15 pagi beliau akan berangkat ke Kuching dan menyerahkan gadis itu kepada Parti Rakyat Sarawak (PRS) untuk disatukan kembali dengan keluarganya.

"Kejayaan ini sangat bermakna bersempena dengan Hari Gawai yang akan disambut pada minggu hadapan," katanya.

Stefanie, 15, diselamatkan dari Kampung Lendang Bawo, Montong, Baan Sikur, Lombok Timur, tiga jam perjalanan kereta dari kota Mataram pada 20 Mei lepas oleh pegawai biro itu hasil kerjasama Interpol Malaysia dan Indonesia.

Beliau telah dibawa ke Jakarta pada hari yang sama namun pihak imigresen Indonesia telah menahan Stefanie kerana didapati masuk ke negara itu tanpa dokumen perjalanan yang sah dan sekaligus membantutkan usaha membawanya pulang untuk disatukan dengan keluarganya di Mukah, Sarawak.

Gadis itu sebelum ini turut memberitahu pegawai biro itu kekesalannya mengikut kekasihnya yang berusia 22 tahun ke Lombok apabila terpaksa melalui kehidupan yang lebih daif daripada di rumah panjang di Sarawak.

Beliau terpaksa berjalan kaki sejauh beberapa kilometer setiap hari untuk mendapatkan bekalan air bersih, kata gadis itu.

Kes itu ditangani oleh biro tersebut setelah ibu gadis itu memohon bantuannya melalui PRS, dua minggu lepas.

Sejak setahun lepas, biro itu telah berjaya menyelamatkan empat gadis bawah umur yang dilarikan kekasih mereka ke Pulau Lombok. - BERNAMA

Artikel Lain