suria

Pemuda Maut Dilanggar Keretapi Di Kuala Krai

KUALA KRAI: Seorang pemuda maut dilanggar kereta api di Kampung Baru Slow Pak Long, Dabong dekat sini awal pagi semalam.

Mangsa Amer Yusri Raji, 38, didapati terpelanting kira-kira 10 meter akibat rempuhan tersebut yang dilaporkan berlaku kira-kira 7.30 pagi.

Kereta api itu sedang dalam perjalanan dari Tumpat ke Gua Musang.

"Mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan," kata Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Supt Abd Rahman Jaafar kepada pemberita.

Beberapa longgokan kabel telekom turut ditemui di sekitar kawasan kejadian.

Seorang penduduk, Suhaimi Awang, 57, berkata beliau pada mulanya dikejutkan dengan bunyi siren kereta api dan melihat tren di atas landasan di hadapan rumahnya bergerak ke depan dan ke belakang beberapa kali.

"Seorang petugas kereta api itu kemudiannya memanggil saya dan bertanyakan sama ada saya kenal atau tidak dengan orang ini (mangsa) sambil ditunjukannya kepada saya. "Saya menjawab saya kenalnya dan kemudiannya meminta seorang anak saya supaya memaklumkan tentang kemalangan itu kepada keluarga mangsa," katanya.

Suhaimi berkata pada masa yang sama beliau menyedari bahawa kabel telekom di hadapan rumahnya sudah dipotong sebanyak enam tiang. Beliau percaya pemotongan kabel tersebut berlaku antara pukul 1 hingga 5 pagi.

"Sebelum ini pun sudah banyak kes kecurian kabel berlaku di kampung ini sehingga merebak ke dalam kawasan estet berdekatan (Ladang Sungai Teku)," katanya.

Polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kematian mengejut. -BERNAMA

Artikel Lain