suria

Malaysia Ditangga Ke-9 Destinasi Pelancong Oleh UNWTO

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pelancongan Dunia Bangsa-bangsa Bersatu (UNWTO) meletakkan Malaysia di tangga kesembilan destinasi yang sering dilawati pelancong di dunia, tahun lepas.

Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata 2009 adalah tahun yang baik untuk industri pelancongan Malaysia walaupun ia merupakan tahun yang sukar untuk sektor pelancongan global.

"Industri pelancongan Malaysia pada 2009 menyumbang RM1 bilion seminggu untuk ekonomi kita, menyediakan pekerjaan kepada lebih sejuta rakyat Malaysia.

"Ia adalah komitmen kerajaan untuk memastikan industri pelancongan negara terus berkembang dan memberikan pengalaman terbaik untuk semua pelancong dari seluruh dunia," katanya ketika berucap pada Citrawarna 1Malaysia 2010 di Dataran Merdeka di sini semalam.

Sementara itu Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan program tahunan anjuran Kementerian Pelancongan itu yang menonjolkan kepelbagaian aspek kebudayaan, etnik dan tradisi masyarakat negara ini menerusi persembahan jalanan, muzik dan tarian.

Ketibaan Tuanku Mizan dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah disambut oleh Ng dan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Acara penuh warna-warni itu dipersembahkan dengan tema dan konsep yang berbeza dalam suasana gilang-gemilang berbanding tahun-tahun sebelumnya sesuai dengan taglinenya "Perarakan Pelancongan Malaysia Terhebat".

Citrawarna 1Malaysia pada tahun ini memaparkan perarakan mengikut lima zon terpilih berdasarkan produk pelancongan iaitu inap desa, pesta makanan dan buah-buahan, jualan mega dan lokasi membeli-belah, pulau-pulau peranginan dan pantai yang indah serta ekopelancongan.

Tiga kumpulan yang mewakili etnik di negara ini turut membuat persembahan mengikut kaum masing-masing iaitu Orang Asli (Sewang), Cina (tarian tradisional Cina) dan India (tarian tradisional India).

Turut diadakan ialah persembahan dikir barat terbesar di Malaysia dengan penglibatan 5,500 peserta dan dicatat dalam Malaysia Book Of Records sebagai persembahan paling ramai peserta. - BERNAMA

Artikel Lain