suria

Dua Bom Tangan Lama Dijumpai Tertanam Dalam Tanah

BALING: Seorang bekas tentera menemui dua butir bom tangan lama yang tertanam dalam tanah ketika cuba meruntuhkan tebing sungai untuk memotong kayu balak yang terendam dalam air di Felcra Weng di sini petang semalam.

Dalam kejadian pukul 6 petang itu, Yusni Osman, 44, dari Kampung Carok Bunting berkata beliau menggunakan cangkul untuk meruntuhkan tebing itu dan cangkul itu beberapa kali terkena satu objek sebelum beliau cuba mencapai objek yang terkena mata cangkulnya tetapi mendapati ia adalah dua butir bom tangan lama, yang dipercayai digunakan pada zaman darurat.

Yusni yang baru bersara beberapa bulan lalu berkata beliau bernasib baik kerana walaupun terkena mata cangkulnya beberapa kali, bom lama itu tidak meletup.

"Setelah mengubah dua butir bom tangan lama itu ke atas tanah, saya menghubungi bapa saudara seupaya memberitahu polis mengenai penemuan itu", katanya.

Sementara itu, adik Yusni, Mohd Ridzuan, 22 yang berada bersama abangnya berkata beliau terdengar beberapa kali mata cangkul abangnya terkena benda keras, tetapi tidak menyangka sama sekali benda itu adalah bom tangan lama yang tertanam di situ.

"Saya dan abang bersyukur kerana bom tangan itu tidak meletup, kalau sebaliknya berlaku, kami dua beradik sudah tentu jadi mangsa bom lama yang tertanam di situ," katanya.

Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah (IPK) telah memusnahkan dua butir bom lama berkenaan di kawasan berdekatan bom itu ditemui pada pukul 11.28 pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Baling DSP Abd Rahim Abdullah ketika dihubungi, mengesahkan objek itu adalah bom tangan lama.

Artikel Lain