suria

Najib Lakukan Lawatan Kerja Dua Hari Ke Sibu Mulai Esok

SIBU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan tiba di Sibu esok untuk melakukan lawatan kerja dua hari. Sebaik tiba kira-kira 4.30 petang, beliau dijangka beredar ke sebuah hotel terkemuka di sini bagi menghadiri perhimpunan Persatuan Sekolah-sekolah Menengah Cina Bersatu dan Persatuan Sekolah-sekolah Rendah Cina Bantuan Bersatu.

Perdana Menteri kemudiannya akan menunaikan solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah di Masjid An-Nur sebelum menyaksikan perarakan Tua Pek Kong di Medan Hoover.

Ini disusuli dengan majlis pelancaran Siaran RTM menerusi Program Satelit bagi Sabah dan Sarawak dan komputer 1Malaysia di sebuah hotel terkemuka di sini sebelum menghadiri jamuan malam bersama kalangan ahli perniagaan tempatan di venue yang sama.

Najib akan memulakan hari kedua beliau dengan bersarapan bagi bersama anggota beberapa pertubuhan belia.

Program diteruskan dengan melakukan tinjauan mesra di sekitar Pasar Pusat Sibu sebelum melawat Rumah Sebastian Ungoh di Pasai, kira-kira 20 kilometer dari sini.

Perdana Menteri akan menghadiri majlis jamuan tengah hari bersama para pegawai kerajaan di sini sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur. - BERNAMA

Artikel Lain