suria

APMM Tahan Nelayan Indonesia Dalam Perairan Malaysia

LANGKAWI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Utara, menahan 21 nelayan warganegara Indonesia berumur antara 21 hingga 55 tahun kerana menangkap ikan di perairan Malaysia, di Pulau Perak kira-kira 86 batu nautika dari Langkawi, semalam.

Ketua Penguatkuasa Maritim APMM Wilayah Utara, Laksamana Pertama Maritim Zulkifli Abu Bakar berkata, empat buah bot yang digunakan untuk menangkap ikan di perairan itu turut dirampas.

"Nelayan dari Belawan, Indonesia terbabit mendapat satu tong seberat 50 kilogram pelbagai jenis ikan setelah berada di perairan selama empat hari.

"Tangkapan dibuat oleh 25 anggota Daerah Maritim Satu Langkawi yang mengadakan rondaan penguatkuasaan operasi Satria utara di perairan Selat Melaka utara," katanya pada persidangan akhbar di pangkalan Bukit Malut, di sini awal pagi ini.

Zulkifli berkata, anggota APMM mengesan kumpulan pertama dengan tiga bot nelayan asing pada pukul 9.56 pagi semalam, 40 batu nautika selatan dari Pulau Perak dan 86 batu dari Langkawi kerana sedang menangkap ikan di perairan negara ini.

"Setelah pemeriksaan, didapati bot-bot berkenaan tidak mempunyai permit sah dengan 16 nelayan termasuk tekong tidak mempunyai dokumen pengenalan diri. Mereka dibawa ke Jeti Perikanan Bukit Malut di sini untuk siasatan lanjut," katanya.

Ketika dalam perjalanan menunda bot-bot itu, anggota APMM mengesan sebuah lagi bot dengan lima nelayan termasuk tekong, pada pukul 1.03 petang, berkedudukan dua batu nautika dari kumpulan pertama.

Zulkifli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Perikanan 1985 boleh dihukum mengikut Seksyen 25 (a) akta sama, iaitu denda RM1 juta kepada tekong manakala awak-awak RM100,000, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Lain