suria

Kempen Dalam Masjid Bawa Perpecahan Dalam Masyarakat - Tun Abdullah

KEPALA BATAS: Tindakan segelintir pemimpin parti politik pembangkang yang menjadikan masjid sebagai tempat berkempen akan menimbulkan pepecahan dalam masyarakat, kata bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Katanya perpaduan di kalangan rakyat dan hubungan erat, mesra dan kerjasama antara orang Islam tidak akan berlaku jika masjid atau surau itu dimiliki atau dijadikan tempat untuk perkembangan parti politik tertentu.

Abdullah, yang juga Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia, juga tidak bersetuju dengan pandangan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang membenarkan masjid digunakan sebagai tempat berpolitik dengan mendakwa perbuatan itu pernah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW pada masa lalu.

"Saya tidak bersetuju dengan masjid dijadikan medan untuk berkempen atau menggunakan masjid untuk tujuan-tujuan politik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Parti Progresif Penduduk (PPP) di sini hari ini.

Anggota Parlimen Kepala Batas itu mengulas kenyataan Nik Aziz ketika berceramah di Kuala Kubu Baharu yang mempertikaikan titah Sultan Selangor melarang pengunaan masjid dan surau di Selangor bagi tujuan politik sebagai karut serta peninggalan penjajah.

Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Jumaat mengulangi titah baginda supaya masjid dan surau di Selangor tidak dijadikan Gelanggang berpolitik dan tempat mengadakan demonstrasi negatif. - BERNAMA

Artikel Lain