suria

Dua Lelaki Diberkas Selepas Larikan Kereta Mewah

MUAR: Dua lelaki ditahan polis 25 minit selepas mereka melarikan sebuah kereta mewah jenis Toyota Lexus milik seorang pengusaha perabot di Jalan Bentayan, Bakri di sini semalam.

Berusia 26 dan 32 tahun, kedua-dua lelaki itu diberkas apabila kereta Proton Waja yang mereka gunakan untuk kegiatan itu dipintas polis di hadapan sebuah stesen minyak di Batu Enam, Bakri pada 6.15 petang.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, abang kedua-dua lelaki itu yang berusia 34 tahun dan amat dikehendaki polis kerana terlibat dalam beberapa kes rompakan berjaya melepaskan diri dan meninggalkan kereta mewah itu yang bernilai RM250,000 di Jeram, Kampung Tengah.

Bercakap kepada pemberita di Mes Pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah Muar di sini hari ini, Mohamad Nasir berkata, dalam kejadian itu, tiga beradik berkenaan yang menaiki kereta Proton Waja yang dicuri di Nusajaya, Johor Baharu bulan lalu, melanggar bahagian belakang kereta mewah pengusaha terbabit.

Ketika mangsa turun dari kenderaan dan cuba memeriksa kesan kena langgar itu, suspek yang terlepas itu meluru masuk ke dalam kereta mangsa lalu terus memecut kenderaan itu ke arah Bakri.

Selain menahan dua suspek itu, polis turut menemui sebilah parang panjang, empat buah telefon mudah alih, empat biji pil Eramin 5, empat keping kad pengenalan orang lain, dua kad ATM Maybank, dua kad ATM Eon Bank dan dua keping cek bernilai RM700 tiap satu bersama mereka.

Gerakan memburu seorang lagi suspek yang masih lepas itu sedang dijalankan.

Mohamad Nasir berkata, penahanan kedua-dua beradik itu membantu polis menyelesaikan sekurang-kurangnya lima kes samun di daerah ini yang dilaporkan pada tahun lalu dan awal tahun ini.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM), Abd Wahab Ridwan, 53, kerugian harta benda bernilai ribuan ringgit apabila kediaman beliau di Tanjung Emas di sini dimasuki pencuri semalam.

Antara barangan yang hilang ialah syiling emas cenderamata keluaran Bank Negara berusia lebih 10 tahun yang menjadi koleksinya.

Mangsa menyedari rumahnya dipecah masuk apabila mendapati tingkap bilik tidur utamanya terbuka sekembalinya dari Pahang pada 6.30 petang.

Turut hilang ialah sejumlah wang simpanan dan koleksi barangan cenderahati lain mangsa. - BERNAMA

Artikel Lain