suria

MIED Gagal Halang Bekas Ketua Pemuda MIC Mulakan Proses Saman

KUALA LUMPUR: Institut Kemajuan Pendidikan Maju (MIED) hari ini gagal dalam usaha menghalang bekas Ketua Pemuda MIC A.Vigneswaran daripada memulakan proses untuk menyaman sembilan pemegang amanah MIED.

Mahkamah Tinggi menolak bantahan awal badan itu terhadap permohonan Vigneswaran bagi kebenaran untuk memulakan saman itu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mah Weng Kwai, yang membuat keputusan itu di dalam kamar, juga menolak permohonan untuk memadamkan beberapa perenggan dalam afidavit sokongan Vigneswaran yang dibuat berdasarkan akuan bersumpah bekas ketua pegawai eksekutif P.Chithirakala.

Vigneswaran memohon kebenaran itu mengikut Seksyen 181A Akta Syarikat 1965 yang menetapkan pihak-pihak yang mahu pihak syarikat dinamakan sebagai plaintif dalam saman itu hanya boleh dilakukan dengan kebenaran mahkamah.

Dalam saman yang dicadangkan itu, Vigneswaran menamakan MIED sebagai plaintif dan sembilan pemegang amanah sebagai defendan.

Kemudiannya, peguam yang mewakili Vigneswaran, A. Vasanthi memberitahu pemberita, hakim juga menolak kedua-dua permohonan dan menetapkan 30 April untuk mendengar permohonan kebenaran itu.

Peguam yang mewakili MIED, Chetan Jethwan berkata, hakim memerintahkan Vigneswaran memfailkan afidavit sokongan yang baru kerana afidavit sebelum ini yang dikemukakan kepada mahkamah kurang lengkap. - BERNAMA

Artikel Lain