suria

Rakyat Thailand Di Malaysia Diminta Bantu Kerajaan

SUNGAI GOLOK: Rakyat Thailand yang tinggal di Malaysia diminta membantu kerajaan dengan menyalurkan maklumat pihak yang bertanggunjgawab melakukan kekacauan di negara ini bagi memastikan keamanan dinikmati seperti Malaysia.

Timbalan Gabenor Narathiwat, Nipon Narapitakkul berkata, golongan terbabit boleh membantu kerana sebahagian mereka mengetahui orang yang terlibat dengan pengeboman dan pembunuhan yang berlaku di tempat masing-masing.

"Kalau masing-masing rasa bertanggungjawab untuk membantu menyelesaikan masalah yang berlarutan itu, berilah maklumat kepada kerajaan bagi memastikan keamanan dipulihkan dan rakyat (selatan Thailand) dapat hidup aman dan bahagia," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata, kebanyakan rakyat Thailand yang tahu dengan peristiwa berdarah itu tidak memberi kerjasama kepada kerajaan dengan alasan faktor keselamatan, yang menyukarkan pihak berkuasa bertindak.

"Kebanyakan yang berlaku di tempat mereka dan tahu kenderaan yang diguna, tetapi disebabkan tidak mahu bekerjasama, maklumat tidak dapat dan pihak terlibat tidak boleh ditangkap," katanya.

Beliau memberi contoh pemasangan bom pada sebuah lori buruk yang dimuat dengan kayu dua hari lepas, mengorbankan seorang anggota pasukan keselamatan tidak dapat dikesan pemiliknya.

"Bila pihak berkuasa bertanya pemilik lori, semua kata tidak tahu, bagaimana kita nak selesai dan menahan orang yang bertanggungjawab," katanya.

Sehubungan itu, Nipon meminta rakyat Thailand yang berada di Malaysia kembali membantu kerajaan dengan menyalurkan maklumat pihak yang terlibat dengan pengeboman dan pembunuhan bagi memastikan keamanan dapat dipulihkan.

"Mereka tahu pihak terlibat dan mereka juga mahukan keamanan sebagaimana Malaysia, tetapi mereka tidak memberi kerjasama, itu yang menyukarkan kerajaan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan lebih berhati-hati dalam mengambil tindakan dan mengeluarkan kenyataan bagi mengelak salah tanggap rakyat terhadap kerajaan berterusan. - BERNAMA

Artikel Lain