suria

Warga Myanmar Ke Tali Gantung Kerana Bunuh Kekasih Isteri

SHAH ALAM: Seorang pengawal keselamatan warga Myanmar dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh teman lelaki isterinya, tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki membuat keputusan itu selepas menolak pembelaan tertuduh, Mohd Naki Mohd Yusuf, 44, yang didapati bersifat penafian semata-mata.

Tertuduh didapati bersalah membunuh Nowshad, 27, yang juga warga Myanmar, di kilang Sin Guan Huat, Jalan Perusahaan 3, Beranang, Kajang, kira-kira pukul 9.30 malam, 14 April 2007.

Pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mangsa dipercayai telah meninggal dunia beberapa minggu sebelum mayatnya dijumpai dalam sebuah tangki air di tempat kejadian pada 20 Mei 2007.

Hasil bedah siasat menunjukkan mangsa meninggal dunia kerana kecederaan otak dan kepala akibat dipukul.

Seramai 22 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan sementara pihak pembelaan mengemukakan seorang saksi.

Dalam penghakimannya, Mohtarudin berkata berdasarkan keterangan saksi, ada bukti menunjukkan bahawa perkahwinan tertuduh dan isterinya kucar-kacir dan isteri tertuduh juga rapat dengan mangsa.

Selain itu, beliau berkata, seorang daripada saksi yang merupakan anak lelaki tertuduh dalam keterangannya memberitahu beliau terdengar pertengkaran yang kuat antara tertuduh dan mangsa di rumah tertuduh selain ternampak tertuduh memukul mangsa menggunakan besi.

"Tahap cemburu dan tahap menangani cemburu adalah berbeza mengikut individu. Mahkamah juga mendapati keterangan yang bersifat penafian semata-mata bukanlah pembelaan.

"Justeru itu saya menolak pembelaan tertuduh. Di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan tidak ada pilihan lain melainkan hukuman mati," katanya.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rosidah Abu Bakar sementara Mohd Naki diwakili peguam Ahmad Nizam Mohamed. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain