suria

Polis Kuantan Rampas 4,880 Karton Rokok Seludup, Tahan Tiga Lelaki

KUANTAN: Polis Derah Kuantan merampas 4,880 karton rokok seludup dan menahan tiga lelaki dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Kuantan Garden di sini pada pukul 11.20 pagi ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Supritendan Zulkifli Taha berkata ketiga-tiga suspek yang berusia antara 20 dan 25 tahun itu ditahan semasa sedang leka membungkus rokok berjenama Gudang Garam.

"Salah seorang daripada mereka cuba untuk meloloskan diri dengan memanjat bumbung rumah, bagaimanapun tindakan pantas anggota polis berjaya memberkasnya," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata rumah itu dipercayai digunakan sebagai tempat transit rokok berkenaan sebelum ia diedar kepada peniaga kecil-kecilan.

Zulkifli berkata polis percaya lelaki berkenaan menjalankan aktiviti penyeludupan rokok itu sejak setahun yang lalu, dan menurutnya suspek dan barang kes yang dianggar bernilai hampir RM200,000 itu akan diserahkan kepada pihak Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan selanjutnya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain