suria

Pengawal Keselamatan Ditahan Bantu Siasatan Kebakaran Bangunan Sekolah

TEMERLOH: Polis hari ini menahan seorang pengawal keselamatan sekolah yang dipercayai dapat membantu siasatan berhubung kebakaran sebuah bangunan Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah di sini yang menempatkan dewan dan bilik darjah, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh, Supt Zundin Mahmood berkata ada saksi yang ternampak suspek melarikan diri ke arah pintu masuk di hadapan pondok pengawal keselamatan ketika kejadian.

"Kami sudah ambil keterangan daripada pengawal keselamatan itu," katanya dan menambah pengawal itu kini ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api.

Sementara itu Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh Syed Jamaludin Syed Abdul Rahman ketika dihubungi berkata kebakaran pada kira-kira pukul 4.30 petang semalam itu dipercayai berpunca daripada perbuatan khianat.

"Ketika pihak kami sampai selepas menerima laporan pada pukul 4.34 petang, dewan itu hampir separuh terbakar kerana bahagian dalamnya dipenuhi dengan kerusi bankuet dan pentas yang dibuat daripada kayu yang mudah terbakar," katanya.

Katanya punca kebakaran masih dalam siasatan dan kerugian dianggarkan RM300,000. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain