Pembangkang Dicabar Bawa Usul Pinda Perlembagaan Buang Perkataan 'Melayu' - Semasa | mStar

Pembangkang Dicabar Bawa Usul Pinda Perlembagaan Buang Perkataan 'Melayu'

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mencabar pembangkang membawa usul untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membuang perkataan "Melayu".

Cabaran itu dilontarkan kepada Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) yang mempersoalkan keseriusan kerajaan melaksanakan gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Kit Siang, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri tidak menyokong gagasan tersebut apabila sering mengeluarkan kenyataan yang mendahulukan bangsa Melayu.

"Gagasan 1Malaysia ini berpaksikan Perlembagaan dan kalau Yang Berhormat nak bangkitkan perkara-perkara yang disebut oleh Timbalan Perdana Menteri tadi, yang pertama sekali Yang Berhormat kena serang ialah Perlembagaan Malaysia.

"Dalam Perlembagaan Malaysia disebut Melayu...jadi bermakna apa juga yang kita buat dalam gagasan 1Malaysia tidak boleh membelakangkan apa yang telah dijaminkan dalam Perlembagaan.

"Tetapi kalau rakan-rakan Yang Berhormat Melayu yang lain sebelah pembangkang sana merasakan perlu kita pinda Perlembagaan, buang perkataan 'Melayu', buatlah, runding-runding bawalah usul, supaya kita boleh pinda Perlembagaan," katanya ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Parlimen.

Justeru itu, Mohamed Nazri berkata, gagasan 1Malaysia perlu dilaksanakan dengan mengambil kira batasan yang wujud dalam Perlembagaan khususnya berhubung hak-hak keistimewaan orang Melayu.

"Itu tidak boleh kita ketepikan kerana kalau tidak, ia akan merupakan anti perlembagaan atau menentang perlembangaan, jadi sebab itu Yang Berhormat, kalau ada 1Malaysia pun, kita tak boleh ketepikan jaminan yang sudah kita beri kepada warga Malaysia," katanya.

Beliau berkata, ini juga tidak bermakna dengan slogan 1Malaysia, kerajaan boleh mengambil tindakan menutup sekolah aliran China dan Tamil kerana perkara tersebut sudahpun dijamin dalam Perlembagaan.

"1Malaysia tidak boleh menjejaskan apa-apa juga hak yang telah kita ada, wujud dan diberikan kepada kita.

"Jadi, jika Yang Berhormat kata bila buat gagasan 1Malaysia maknanya semua kena menampakkan 1Malaysia, tak bolehlah Yang Berhormat sebab kita ada Perlembagaan," katanya.

Bagaimanapun, Mohamed Nazri berkata, kerajaan masih boleh melaksanakan gagasan 1Malaysia di mana yang boleh asalkan tidak menyentuh hak dan keistimewaan yang disebut dalam Perlembagaan secara langsung. - BERNAMA

Artikel Berkaitan

Klik

default image

TMM2020: “Malaysia ada makanan sedap, banyak tempat indah dan membeli-belah pun murah” - Muhamaddin Ketapi

MALAYSIA menetapkan sasaran 30 juta pelancong dengan sasaran pendapatan sehingga RM100 bilion untuk TMM2020.

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

Agenda bumiputera masih keutamaan WKB 2030

STATISTIK oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa), bumiputera berada di bahagian bawah apabila ia berkaitan dengan pemilikan kekayaan dan tahap pendapatan.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

default image

Jom bantu bayar balik pinjaman PTPTN pekerja! Pelepasan cukai antara 7 kelebihan untuk dinikmati majikan

HUBUNGAN majikan dan pekerja ibarat irama dan lagu, kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain demi kelangsungan operasi syarikat.

Artikel Lain

Nelayan temui duit dalam perut ikan

Messi gantung but 2021?